Syeikh A'tiah Saqar
IBN A’RABI DAN IBN AL A’RABI[1]
Soalan
Kami membaca di dalam kitab
tentang seorang ulama’ yang bernama Ibn al A’rabi dan kadang-kadang ditulis dengan
Ibn A’rabi, adakah mereka ini orang yang sama atau berbeza ?
Jawapan : Telah hidup di
Andalus dua orang ulama’ yang waktu kelahiran di antara mereka tidaklah jauh.
Setiap di antara mereka mempunyai halatuju ilmu masing-masing, dan ini adalah
sejarah ringkas tentang kehidupan mereka.
Pertama : Dia adalah al
Qodhi Abu Bakar Bin A’rabi, dilahirkan di Asybiliah pada 22 Sya’ban tahun 468
H. Namanya adalah Muhammad Bin Abdullah Bin Muhammad Bin Abdullah Bin Ahmad
yang dikenali dengan Ibn al A’rabi al Mua’afira, juga digelar dengan Abu Bakar.
Beliau telah mengembara menuntut ilmu di Maghribi dan Mesir, kemudian bersama
ayahnya ke Baitul Maqdis, Damsyik dan Baghdad. Beliau telah bertemu di sana
dengan Imam Ghazali. Beliau menunaikan haji bersama ayahnya pada tahun 489 H,
kemudian kembali ke Damsyik dan Iskandariah sehingga wafat ayahnya pada tahun
493 H. Beliau wafat di Fas dan dikebumikan di sana pada hari Ahad bulan Rabiu’l
Awwal tahun 543 H.
Di antara karangannya : Al
A’wasim minal Qawasim, Qanun at Takwil fit Tafsir, al Qabs fi Syarah al
Muwattho’, al Mahsl fi Ilmi Usul lebih kurang 35 kitab karangannya.
Kedua : Dia adalah
Muhyiddin Ibn A’rabi. Kata al Hafiz Muhibuddin Bin Al Bahar di dalam Ziil
Tarikh Baghdad, beliau bernama Muhammad Bin Ali Bin Muhammad Bin al A’rabi
Abu Abdullah at Thooie di kalangan penduduk Andalus. Dilahirkan di Marsih pada
malam Isnin 1 Ramadhan tahun 560 H. Beliau tinggal di sana dan kemudian
berpindah ke Asybiliah pada tahun 578 H, beliau tinggal di sana sehingga tahun
598 H. Setelah itu beliau mengembara ke negara Timur, Rom dan wafat di Syam
(sebagaimana kata Dhia’uddin al Maqdisi) pada malam Jumaat 22 Rabiul Awwal
tahun 638 H. Beliau merupkan Imam Tasauf di zamannya dan sempat mengarang lebih
200 buah kitab.
Beliau telah
berkata tentang al Hulul dan Wehdatul Wujud iaitu Allah s.w.t menjelma pada
setiap sesuatu. Beliau dikatakan bermazhab Zohiri pada ibadat dan Batini pada
aqidah (Doktor Abdullah al Kufrawi).
Para ulama’
telah berbeza pendapat tentang hukum ke atasnya sebagaimana kata Imam as
Suyuthi di dalam risalahnya Tanbih al
Ghabi bi Tabriah Ibn al A’rabi, sebahagian manusia mengatakan dia adalah di
kalangan wali Allah, sebahagiannya lagi mengatakan dia adalah sesat dan
sebahagian yang lain pula senyap daripada menghukum. Kata Imam as Suyuthi :
“Sebaik-baik kepercayaan di
sisiku dia adalah di kalangan wali Allah dan dilarang membaca kitab-kitabnya
melainkan orang yang benar-benar mendalam ilmunya”
Oleh kerana
itulah sebahagian kitab ditulis dengan nama Ibn A’rabi bagi membezakannya
dengan al Qodhi Ibn al A’rabi. Di antara kitab karangannya : Al Futuhat al
Makkiah, Fusus al Hikam, Muhadharat al Abrar wa Musamarat al Akhyar wal Isfaar
a’n Nataaij al Asfaar.
Wallhua’alam.
Terj : Faiz Tanzizi