Monday, 19 August 2013

Imam al Mahdi



AL MAHDI AL MUNTAZHOR[1]
Soalan
Seorang perempuan telah berkata “Al Mahdi al Muntazar (yang ditunggu) telah pun dibangitkan, maka dia telah dibaiah sebagai pemimpin. Juga dia mengatakan, tiada dalil yang jelas di dalam Al Quran yang menyebutkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w merupakan penutup kepada sekalian nabi dan rasul”. Adakah benar kenyataan seperti ini?

Jawapan : Sesunguhnya Nabi Muhammad s.a.w telah diutuskan kepada umat ini, dan baginda merupakan nabi dan rasul yang terakhir. Sabda Nabi s.a.w :

لاَ تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى تَلْحَقَ قَبَائِلُ مِنْ أُمَّتِي بِالْمُشْرِكِينُ وَحَتَّى يَعْبُدُوا الْأَوْثَانَ وَأَنَّهُ سَيَكُونَ فِي أَمَّتِي ثَلَاثُونَ كَذَّابُونَ كُلُّهُمْ يَزْعَمُ أَنَّهُ نَبِيٌّ وَأَنَا خَاتِمُ النَّبِيِّينَ لَا نَبِيٌّ بَعْدِي

“Kiamat tidak akan berlaku sehinggalah bergabung kabilah-kabilah dalam kalangan umatku dengan Musyrikin dan sehinggalah mereka menyembah berhala-berhala dan akan ada di kalangan umatku tiga puluh pendusta yang semuanya menyangka sebagai nabi sedangkan aku adalah penutup segala nabi dan tidak ada nabi selepasku”[2]

Para ulama’ dan umat Islam telah sepakat, bahawasanya baginda adalah penutup kepada sekalian nabi, dan hakikat ini tidak boleh diragukan. Umat Islam tidak akan berselisih dalam perkara ini. Ingatlah, tidak akan ada nabi dan rasul lagi selain baginda s.a.w. Sebagaimana firman Allah : 
مَا كَانَ مُحَمَّدٌ أَبَا أَحَدٍ مِنْ رِجَالِكُمْ وَلَكِنْ رَسُولَ اللَّهِ وَخَاتَمَ النَّبِيِّينَ وَكَانَ اللَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمًا
  
“Bukanlah Nabi Muhammad itu (dengan sebab ada anak angkatnya) menjadi bapa yang sebenar bagi seseorang dari orang lelaki kamu, tetapi ia adalah Rasul Allah dan kesudahan segala Nabi-nabi. dan (ingatlah) Allah adalah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu”.[3]

Sekiranya wujud pendapat lain yang mengatakan bahawa masih ada lagi Nabi atau Rasul selepas kewafatan baginda, maka jelaslah bahawa dia bukanlah dari kalangan orang Islam, yakni telah keluar dari Islam. Perkara ini merupakan suatu asas agama yang telah tetap di kalangan ulama-ulama sebagaimana ilmu asas Islam yang lain seperti ilmu Tauhid, hakikat al Quran, Kaabah, dan Kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. Sesungguhnya Nabi Muhammad s.a.w merupakan penutup Kenabian dan Kerasulan dan umat baginda hanyalah satu.

Sebab yang demikian itu, sekiranya terdapat rasul lain selepas kewafatan baginda, maka akan berimanlah sebahagian manusia dengannya dan sebahagian lagi akan mengkufuri kebangkitannya. Ini akan menyebabkan umat manusia berpecah belah seterusnya menyebabkan umat manusia hancur. Keadaan ini sangat tidak bertepatan dengan tuntutan Islam di mana risalah terakhir yang dibawa baginda menyeru ke arah kesatuan ummat Islam.

Perpecahan sangat ditegah dalam Islam. Maka, jika masih ada seruan lain atau ada lagi orang yang mengaku bahawa dia adalah seorang rasul yang diutuskan oleh Allah selepas Nabi Muhammad s.a.w., maka jelaslah segala suruhan dan arahannya tertolak secara automatik. Dia juga secara tidak langsung telah terkeluar dari Islam. Hal ini jelas dan tiada sebarang pertikaian mengenai perkara ini.

Isu yang kedua :
Sesungguhnya Nabi s.a.w telah pun mengkhabarkan kepada dua puluh orang di kalangan sahabat, bahawa akan keluar di akhir zaman seseorang sebagai hakim yang adil. Dimana telah pun disifatkan sifat-sifatnya di dalam hadith, sebahagaiannya sohih, hasan dan dhoif
.
Hadith-hadith ini menunjukkan di sana akan lahir seorang lelaki yang bernama Muhammad Bin Abdullah, seorang lelaki daripada keluarga Hasan Bin Ali, yang akan lahir di akhir zaman. Dia mempunyai sifat-sifat yang memenuhi dunia dengan penuh keadilan, menyatukan kaum Muslimin, berjihad di jalan Allah, dan dia adalah seorang lelaki seperti lelaki-lelaki lain yang tidak diberikan wahyu. Dia akan berjihad di jalan Allah, serta akan menyatakan keadilan dan kebenaran di bumi ini. Sabda Nabi s.a.w :

عَنْ أَبِى إِسْحَاقَ قَالَ قَالَ عَلِىٌّ رضى الله عنه وَنَظَرَ إِلَى ابْنِهِ الْحَسَنِ فَقَالَ إِنَّ ابْنِى هَذَا سَيِّدٌ كَمَا سَمَّاهُ النَّبِىُّ صلى الله عليه وسلموَسَيَخْرُجُ مِنْ صُلْبِهِ رَجُلٌ يُسَمَّى بِاسْمِ نَبِيِّكُمْ يُشْبِهُهُ فِى الْخُلُقِ وَلاَ يُشْبِهُهُ فِى الْخَلْقِ ثُمَّ ذَكَرَ قِصَّةَ يَمْلأُ الأَرْضَ عَدْلاً
Daripada Abi Ishak, kata Ali r.a setelah melihat anaknya al Hasan “Sesungguhnya anak ini adalah ketua sebagaimana dinamakan oleh Nabi s.a.w dan akan keluar daripada sulbinya seorang lelaki yang dinamakan dengan nama Nabi kamu, yang akan menyerupai pada akhlaknya dan tidak pada tubuhnya, dan dia akan memenuhi bumi ini dengan penuh keadilan” [4]

Daripada Ummi Salmah r.a sabda Nabi s.a.w :
الْمَهْدِىُّ مِنْ عِتْرَتِى مِنْ وَلَدِ فَاطِمَةَ
“Al Mahdi itu adalah daripada keturunanku yang akan lahir daripada anak Fatimah”[5]

Kedatangan al Mahdi tidaklah perlu dinantikan, sebagaimana makna al muntazar selepas perkataan al Mahdi tidak diperincikan oleh para ulama Sunnah. Kita tidak pernah menunggu sesiapa. Telah banyak berita-berita mengenai tanda-tanda hari kiamat yang dikhabarkan kepada kita oleh Rasulullah s.a.w. Kebanyakan tanda-tanda kecil dan sederhana telah pun terjadi melainkan tanda kiamat yang besar seperti keluarnya dajjal, haiwan (dabbah), dan sebagainya.

Akan tetapi, akan ada petanda ketika keluarnya al Mahdi, di mana Allah s.w.t akan menyatukan hati-hati umat Muhammad s.a.w. Di mana mereka akan menerima kebangkitannya tanpa ada sebarang pertikaian. Bagaimanapun, berita mengenai al Mahdi tidak diceritakan secara jelas sejak dari zaman Rasulullah s.a.w hingga ke hari ini. 

Terdapat pelbagai dakwaan yang menyebutkan kehadiran al Mahdi. Lebih 50 orang menyebutkan tentang namanya al Mahdi al Muntazar, ada yang mengatakan namanya Muhammad Bin Abdullah. Ada juga mengatakan bahawa al Mahdi akan mewujudkan satu pemerintahan sebagaimana yang telah diasaskan oleh Nabi Muhammad s.a.w sebagaimana Ibn Tumart di Barat yang menyatukan masyarakat barat. Sebahagian mereka terlibat di dalam peperangan seperti Muhammad Bin Abdullah al Mahdi as Sudani.

Demikianlah, tetapi tidak ada seorang pun dalam kalangan mereka adalah al Mahdi. Oleh kerana itu kita tidak perlulah menunggunya. Di sisi ahli sunnah kita tidak diperintahkan menunggu al Mahdi dan tidak perlulah kita sibuk memikirkannya. Sesungguhnya ini adalah perkara ghaibiat yang akan berlaku pada masanya nanti. Adapun dakwaan ini, saya tidak pernah mendengarnya dan tidak mengetahui siapakah yang berkata. Di sana tidak ada suatu pun risalah dan kenabian selepas Nabi s.a.w. Oleh itu sesiapa yang mendakwa mendapat risalah kenabian, maka dia adalah dajjal pembohong yang terkeluar daripada Islam, 

wallahua’lam.


[1] Al Kalimu at Tayyib (Fatawa Asriah). Dr Ali Juma’ah Muhammad hlm   321
[2] Riwayat Tirmizi (2219)
[3] Surah al Ahzab 40
[4] Riwayat Abu Daud (4292)
[5] Riwayat Abu Daud (4286)

No comments:

Post a Comment