Monday, 19 August 2013

Tilik tapak tangan




TILIK TAPAK TANGAN[1]
Soalan
Saya mohon penjelasan daripda tuan syeikh tentang bacaan tapak tangan, adakah ia suatu asas yang benar ?

Jawapan : Islam adalah agama ilmu. Adapun membaca tapak tangan, pinggan dan sebagainya adalah perkara khurafat yang tidak ada disiplin sesuatu pun di dalam timbangan-timbangan ilmu. Sesungguhnya ia di antara perkara-perkara yang bahaya yang diharamkan oleh Islam dan diberi peringatan tentangnya.
Perkara ini seumpama dengan membenarkan tukang ramal (kahnah), ahli nujum (munajjim) dan tukang tilik (u’rraf). Semua ini jika dipercayai boleh membatalkan aqidah Islam seseorang dan menyalahi timbangan logik akal dan ilmu. Tapak tangan dan tangan sebenarnya tidak ada hubungan dengan qada’ dan qadar, mereka sebenarnya adalah para dajjal dan pembohong, wallahua’alam.[2]


[1] Ma’an Nas Masyuarat wa Fatwa,  Jilid 1, Dr. Said Ramadhan al Bouti, hlm 236
[2] Tambahan penyusun :
Perkataan khurafat berasal daripada perkataan Arab yang bererti cerita bohong, dongeng dan tahyul atau sesuatu yang tidak masuk akal. Istilah khurafat telah muncul sejak zaman Rasulullah s.a.w masih hidup. Bahkan Baginda sendiri telah menjelaskan kepada umatnya tentang istilah dan pengertian khurafat.
Menurut Kamus Mu‘jam al Wasit, perkataan khurafat ialah cerita-cerita yang mempesonakan yang dicampuraduk dengan perkara dusta. Dalam konteks aqidah, khurafat bermaksud bid‘ah aqidah yang merupakan kepercayaan kepada sesuatu yang menyalahi syariat yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. Ia juga boleh diertikan sebagai amalan yang tidak mempunyai hakikat kebenaran. Selain itu, ia merupakan perkara tahyul yang pada kebiasaannya tidak boleh diterima oleh akal. Seseorang itu boleh dianggap mengamalkan perkara yang khurafat apabila dia berpegang dan beriktiqad dengan perkara-perkara yang bukan daripada ajaran Islam, tidak munasabah dan tidak dapat diterima oleh akal yang waras. Berdasarkan pengertian yang disebutkan di atas, jelas bahawa perkataan khurafat itu adalah merujuk kepada sesuatu cerita atau perkara yang dusta dan tidak masuk akal.- Hukum Beramal dengan Khurafat dan Azimat  oleh Haji Mazanan bin Haji Yusof.

No comments:

Post a Comment