Wednesday, 28 August 2013

Ibn Arabi dan Ibu al A'rabi



 
Syeikh A'tiah Saqar

IBN A’RABI DAN IBN AL A’RABI[1]
Soalan
Kami membaca di dalam kitab tentang seorang ulama’ yang bernama Ibn al A’rabi dan kadang-kadang ditulis dengan Ibn A’rabi, adakah mereka ini orang yang sama atau berbeza ?

Jawapan : Telah hidup di Andalus dua orang ulama’ yang waktu kelahiran di antara mereka tidaklah jauh. Setiap di antara mereka mempunyai halatuju ilmu masing-masing, dan ini adalah sejarah ringkas tentang kehidupan mereka.
Pertama : Dia adalah al Qodhi Abu Bakar Bin A’rabi, dilahirkan di Asybiliah pada 22 Sya’ban tahun 468 H. Namanya adalah Muhammad Bin Abdullah Bin Muhammad Bin Abdullah Bin Ahmad yang dikenali dengan Ibn al A’rabi al Mua’afira, juga digelar dengan Abu Bakar. Beliau telah mengembara menuntut ilmu di Maghribi dan Mesir, kemudian bersama ayahnya ke Baitul Maqdis, Damsyik dan Baghdad. Beliau telah bertemu di sana dengan Imam Ghazali. Beliau menunaikan haji bersama ayahnya pada tahun 489 H, kemudian kembali ke Damsyik dan Iskandariah sehingga wafat ayahnya pada tahun 493 H. Beliau wafat di Fas dan dikebumikan di sana pada hari Ahad bulan Rabiu’l Awwal tahun 543 H.
Di antara karangannya : Al A’wasim minal Qawasim, Qanun at Takwil fit Tafsir, al Qabs fi Syarah al Muwattho’, al Mahsl fi Ilmi Usul lebih kurang 35 kitab karangannya.
Kedua : Dia adalah Muhyiddin Ibn A’rabi. Kata al Hafiz Muhibuddin Bin Al Bahar di dalam Ziil Tarikh Baghdad, beliau bernama Muhammad Bin Ali Bin Muhammad Bin al A’rabi Abu Abdullah at Thooie di kalangan penduduk Andalus. Dilahirkan di Marsih pada malam Isnin 1 Ramadhan tahun 560 H. Beliau tinggal di sana dan kemudian berpindah ke Asybiliah pada tahun 578 H, beliau tinggal di sana sehingga tahun 598 H. Setelah itu beliau mengembara ke negara Timur, Rom dan wafat di Syam (sebagaimana kata Dhia’uddin al Maqdisi) pada malam Jumaat 22 Rabiul Awwal tahun 638 H. Beliau merupkan Imam Tasauf di zamannya dan sempat mengarang lebih 200 buah kitab.
Beliau telah berkata tentang al Hulul dan Wehdatul Wujud iaitu Allah s.w.t menjelma pada setiap sesuatu. Beliau dikatakan bermazhab Zohiri pada ibadat dan Batini pada aqidah (Doktor Abdullah al Kufrawi).
Para ulama’ telah berbeza pendapat tentang hukum ke atasnya sebagaimana kata Imam as Suyuthi di dalam  risalahnya Tanbih al Ghabi bi Tabriah Ibn al A’rabi, sebahagian manusia mengatakan dia adalah di kalangan wali Allah, sebahagiannya lagi mengatakan dia adalah sesat dan sebahagian yang lain pula senyap daripada menghukum. Kata Imam as Suyuthi :
“Sebaik-baik kepercayaan di sisiku dia adalah di kalangan wali Allah dan dilarang membaca kitab-kitabnya melainkan orang yang benar-benar mendalam ilmunya”
Oleh kerana itulah sebahagian kitab ditulis dengan nama Ibn A’rabi bagi membezakannya dengan al Qodhi Ibn al A’rabi. Di antara kitab karangannya : Al Futuhat al Makkiah, Fusus al Hikam, Muhadharat al Abrar wa Musamarat al Akhyar wal Isfaar a’n Nataaij al Asfaar.
Wallhua’alam. 

Terj : Faiz Tanzizi


[1] Ahsanul Kalam Fil Fatawa wal Ahkam (Fatawa Jadidah), Syeikh A’tiah Saqar, hlm 243

No comments:

Post a Comment