Saturday, 27 April 2013

Adakah sesuatu perkara yang ditinggalkan oleh Nabi s.a.w itu harus dilakukan ?




ADAKAH SESUATU PERKARA YANG DITINGGALKAN
OLEH NABI S.A.W HARUS DILAKUKAN ?[1]
Fatwa Syeikh Muhammad Ibrahim al Hafnawi

Soalan
Banyak perkara yang kita lakukan hari ini, dikatakan oleh golongan yang tertentu (mutasyaddid) tidak boleh dilakukan kerana Rasullullah s.a.w tidak melakukannya, maka adakah benar setiap perkara yang tidak dilakukan oleh Nabi s.a.w itu tidak boleh kita melakukannya ?

Jawapan : Para ulama’ salaf dan khalaf telah bersepakat bahawasanya meninggalkan sesuatu bukanlah jalan daripada jalan Istidlal dengan secara bersendirian. Jika hendak menjadikan istidlal, tidak dapat tidak mestilah membawa dalil larangan daripada Nabi s.a.w, kerana jalan mengistbatkan hukum syara’ adalah dengan Kitab, Sunnah, Ijma’ dan Qias.
Apabila Nabi s.a.w meninggalkan sesuatu, maka itu tidaklah semestinya kita tidak harus melakukannya melainkan perkara itu memang dilarang melakukannya.
                Sesungguhnya Imam Bukhari telah meriwayatkan di dalam sohihnya daripada Rifaa’h Bin Rafi’ dia berkata:

كُنَّا يَوْمًا نُصَلِّي وَرَاءَ النَّبِيِّ : فَلَمَّا رَفَعَ رَأْسَهُ مِنَ الرَّكْعَةِ ، قَالَ : سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ قَالَ رَجُلٌ وَرَاءَهُ : رَبَّنَا وَلَكَ الْحَمْدُ ، حَمْدًا كَثِيرًا طَيِّبًا مُبَارَكًا فِيهِ فَلَمَّا انْصَرَفَ ، قَالَ : مَنِ الْمُتَكَلِّمُ ؟ قَالَ : أَنَا  قَالَ : رَأَيْتُ بِضْعَةً وَثَلاَثِينَ مَلَكًا يَبْتَدِرُونَهَا ، أَيُّهُمْ يَكْتُبُهَا أَوَّلُ

Suatu hari kami bersembahyang di belakang Nabi s.a.w, setelah mana Nabi s.a.w mengangkat kepalanya daripada ruku’ baginda berkata “Allah mendengar orang yang memujinya” lalu seseorang yang berada di belakangnya berkata “Tuhan kami ! segala pujian bagiMu dengan segala pujian yang baik lagi diberkati” setelah mana selesai sembahyang Nabi s.a.w pun bertanya “Siapa yang berkata tadi ?” dia berkata “Saya ya Rasulullah” sabda Nabi s.a.w “Aku melihat lebih daripada tiga puluh malaikat berlumba-lumba untuk menjadi yang pertama mencatatnya”[2]

Kata Ibn Hajar:

استدل به على جواز إحداث ذكر في الصلاة غير مأثور إذا كان غير مخالف للمأثور

“Berdasarkan hadith ini harus berzikir (atau berdoa) di dalam solat dengan zikir yang tidak ma’thur selagi mana tidak menyalahi yang ma’thur”[3]
Dan golongan yang menyeru tidak harus melakukan sesuatu kerana Nabi s.a.w tidak melakukannya, maka kami menuntut dalil larangannya, kerana:

الأصل في الأشياء الإباحة

“Asal sesuatu itu adalah harus”
Kesimpulannya
Sesuatu yang ditinggalkan oleh Nabi s.a.w tidaklah semestinya dilarang daripada melakukannya apabila baginda sendiri tidak melakukannya, demikian jugalah apa yang difahami oleh para sahabat.
Wallahua'alam.

Terj: Faiz Tanzizi 2011


[1] Fatawa Syari’yyah Mua’sirah, Dr. Muhammad Ibrahim al Hafnawi, hlm 40
[2] Riwayat Bukhari (799)
[3] Fathul Bari, Ibn Hajar al A’sqalani,jilid 4, hlm 204

No comments:

Post a Comment