Tuesday, 30 April 2013

Keturunan Nabi s.a.w adalah sebaik-baik keturunan




KETURUNAN NABI S.A.W ADALAH SEBAIK-BAIK KETURUNAN[1]
Fatwa Syeikh Ali Juma'ah

 Soalan 1
Adakah benar Nabi Muhammad s.a.w itu sebaik-baik keturunan ? Apakah dalil yang demikian ?

Jawapan : Allah s.w.t berfirman :
وَتَقَلُّبَكَ فِي السَّاجِدِينَ

“Dan (melihat) gerak-gerimu di antara orang-orang yang sujud”.[2]

Daripada Ibnu Abbas r.a berkata:

فِي أَصْلَابِ الْآبَاءِ، آدَمَ وَنُوحَ وَإِبْرَاهِيمَ حَتَّى أَخْرَجَهُ نَبِيًّا
“Dan (keturunan Rasulullah s.a.w itu adalah keturunan) dari seorang Nabi kepada seorang Nabi yang lain, kemudian kepada seorang Nabi sehinggalah dilahirkan Rasulullah s.a.w sebagai seorang Nabi.”[3]

Ibnu Abbas r.a mentafsirkan firman Allah ini sebagai perpindahan benih daripada sulbi seorang Nabi ke sulbi Nabi seterusnya ke dalam sulbi dari kalangan para sajidiin (yang sujud dan beriman kepada Allah). Maka dapatlah diketahui bahawa Rasulullah s.a.w dilahirkan daripada benih insan-insan yang beriman dan mendirikan solat dari kalangan zuriat Nabi Ibrahim a.s. Dalil ini juga telah dipakai oleh Imam Baijuri di dalam Hasyiah, pada menyatakan keimanan ayahanda dan bonda serta seluruh nenek-moyang Rasulullah s.a.w. Diriwayatkan dari Watsilah ibn al Asqa’ bahawa Rasulullah s.a.w bersabda :

إِنَّ اللَّهَ اصْطَفَى كِنَانَةَ مِنْ وَلَدِ إِسْمَاعِيلَ وَاصْطَفَى قُرَيْشًا مِنْ كِنَانَةَ وَاصْطَفَى مِنْ قُرَيْشٍ بَنِى هَاشِمٍ وَاصْطَفَانِى مِنْ بَنِى هَاشِمٍ

 ‘‘Sesungguhnya Allah s.w.t telah memilih Bani Kinanah di antara anak-anak Nabi Ismail, Allah s.w.t telah memilih kaum Quraisy dari kalangan Bani Kinanah, Allah s.w.t telah memilih Bani Hasyim di antara kaum Quraisy, dan Allah Taala telah memilihku dari kalangan Bani Hasyim”[4]

Diriwayatkan daripada bapa saudara Nabi s.a.w iaitu al Abbas, kata beliau, Rasulullah bersabda: 

إِنَّ اللهَ خَلَقَ الْخَلْقِ فَجَعَلَنِي مِنْ خَيْرِهِمْ مِنْ خَيْر قَرْنِهِمْ ثُمَّ تَخَيَّرَ الْقَبَائِل فَجَعَلَنِي مِنْ خَيْرِ قَبِيْلَةٍ ثُمَّ تَخَيَّرَ الْبُيُوتَ فَجَعَلَنِي مِنْ خَيْرِ بُيُوتِهِمْ فَأَنَا خَيْرُهُمْ نَفْسًا وَخَيْرُهُمْ بَيْتًا

‘‘Sesungguhnya Allah telah menciptakan segala makhluk ini, dan Dia menciptakan aku daripada yang terlebih baik di antara segala makhluk, dan daripada sebaik-baik kurun mereka, Kemudian Allah memilih kabilah-kabilah dan dijadikan daku daripada sebaik-baik kabilah. Kemudian Allah memilih rumah-rumah maka dijadikan daku dari sebaik-baik rumah mereka. Maka aku adalah sebaik-baik jiwa dari kalangan mereka dan sebaik-baik rumah dari kalangan mereka.’’[5]

Rasulullah s.a.w telah menyifatkan keturunan Baginda itu dengan ‘yang suci’ dan ‘yang baik,’ dan kedua-dua sifat ini menafikan sama sekali sifat kufur dan syirik; sebagaimana firman Allah s.w.t ketika menyifatkan orang-orang musyrikin : 
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْمُشْرِكُونَ نَجَسٌ
 “Wahai orang-orang Yang beriman! Sesungguhnya (kepercayaan) orang-orang kafir musyrik itu najis”[6]

Wallahua’alam.

 Terj: Faiz Tanzizi 2010


[1] Al Bayan lima Yashghulu fil Azhan, Dr. Ali Jum’ah, hlm 149
[2] Surah as Syuara’ 219
[3] Tafsir at Thobari, juzu’ 13 hlm 144
[4] Riwayat Muslim (6077)
[5] Riwayat Tirmizi (3607)
[6] Surah at Taubah 28

No comments:

Post a Comment