Saturday, 27 April 2013

Haram mengebumikan jenazah bersama mushaf





HARAM MENGEBUMIKAN JENAZAH BERSAMA MUSHAF[1]
Fatwa Syeikh Hasanain Muhammad Makhluf
Soalan
Adakah harus di sisi syara’ meletakkan mushaf al Quran al Karim bersama mayat ketika dikebumikan ?

Jawapan: Sesungguhnya, wajib ke atas setiap kaum Muslimin, memuliakan al Quran, menghormti, serta menjauhkannya daripada segala kekotoran, keburukan , serta najis. Sehinggakan, ada ulama menyatakan jatuh kufur seseorang itu jika meletakkan mushaf al Quran itu bersama benda yang kotor. Banyak nas yang terdapat di dalam al Quran dan hadith, melarang meletakkan al Quran pada bukan tempatnya. Misalnya, meletakkannya ditempat yang mempunyai najis, membawa bersama al Quran ke medan perang, ini kerana ditakuti jatuh ke tangan pihak musuh, dan mereka merosakkannya.
Haram juga, menggunakan al Quran sebagai tempat alas, untuk tempat berehat, membawanya kedalam tandas, begitu juga pendapat oleh Imam Abu Amru dan Ibn Solah. Bagi memuliakan al Quran, dilarang wanita haid, nifas, junub, dan orang yang berhadas menyentuhnya, Firman Allah s.w.t :

لَا يَمَسُّهُ إِلَّا الْمُطَهَّرُونَ 
“Tidak ada yang menyentuhnya melainkan orang-orang yang suci”[2]

Di dalam ayat ini, lafaz ‘tidak’ menunjukkan larangan, yang kembali kepada al Quran. Di dalam sebuah hadith Nabi s.a.w bersabda :

لا تَمَسَّ القرآن إلا وأنت طاهر

“Janganlah kamu menyentuh al Quran melainkan kamu bersih dan suci”

Kata Imam an Nawawi as Syafei :

يَحْرُم على المُحدِث مَسُّ المصحف وحمْله سواء حَمَلَه بعلاقة أو في كمه أو على رأسه، وسواء مَسَّ نفْس الأسطر أو ما بَيْنَها أو الحواشي أو الجِلْد فكل ذلك حرام

“Diharamkan ke atas orang yang berhadas menyentuh mushaf dan membawanya samaada membawanya dengan pengantaraan, atau dengan menggunakan lengan baju atau meletakkannya di atas kepala. Diharamkan juga menyentuh lembarannya,  bahagian tepi atau kulitnya, maka itu semua adalah  dilarang”[3]
Bagi jenazah yang telah dikafan, ia dilarang meletak bersamanya al Quran, kerana jenazah akan menjadi reput (najis), nanah, busuk, sedangkan al Quran pula dilarang diletakkan pada tempat bernajis.
Ibn Solah mengatakan :

لا يجوز أن يُكتَبَ على الكفن يس والكهف ونحوهما خوفًا من صديد الميت و لا يجوز تعريض الأسماء المعظمة للنجاسة

“Tidak boleh menulis pada kain kafan, surah Yassin, Kahfi, dan sebagainya. Bimbang terkena nanah mayat. Dan tidak harus juga mendedahkan nana-nama yang mulia pada najis.”
Begitulah hukum meletak mushaf al Quran di dalam kubur, kerana al Quran itu suci lagi mulia. Kemuliaan itu, tidak boleh diletakkan pada tempat  bernajis, wallahua’alam. 

 Terj: Faiz Tanzizi 2011


[1] Fatawa Syeikh Hasanain Muhammad Makhluf
[2] Surah al Waaqia’h 79
[3] Al Majmu’ Syarah al Muhazzab, lin Nawawi, jilid 2, hlm 67

No comments:

Post a Comment