Friday, 3 May 2013

Hukum mengambil berkat pada gereja



 
HARAM MENGAMBIL BERKAT PADA GEREJA[1]
Syeikh Husnain Muhammad Makhluf
Soalan
Sebahagian kaum Muslimin dan Muslimat telah pergi ke gereja dengan berniat mengambil berkat pada para paderi yang dikebumikan di sana kerana mereka menyangka mempunyai karamah. Mereka berharap supaya disembuhkan penyakit dan dapat dikembalikan barang yang hilang. Kami mengharapkan penjelasan daripada pihak tuan adakah perkara ini harus di sisi syara’ ?

Jawapan: Beriktiqad seperti masalah diatas, merupakan suatu iktiqad yang salah, mungkar lagi haram. Sesungguhnya kejahilan itu boleh di atasi dengan ilmu, kebodohan pula boleh ditolak dengan menggunakan akal. Segala yang disangkakan itu bukanlah karamah, tetapi adalah suatu penipuan, pembohongan dan penyelewengan.
Seperti yang kita ketahui, karamah itu merupakan satu kemulian yang diberi oleh Allah s.w.t kepada hambaNya yang soleh dan disayangi. Firman Allah s.w.t :
š
 الَّذِينَ آمَنُوا وَكَانُوا يَتَّقُونَ
“(Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa.”[2] 

Allah s.w.t juga menjelaskan lagi, golongan yang dikasihiNya, didalam firmanNya :
 
ƒ
إِنْ أَوْلِيَاؤُهُ إِلَّا الْمُتَّقُونَ وَلَكِنَّ أَكْثَرَهُمْ لَا يَعْلَمُونَ
“orang-orang yang berhak menguasainya hanyalah orang-orang yang bertaqwa, tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.”[3]

الإيمان هو التصديق الجازم بما جاء به محمد صلى الله عليه وسلم  عن رَبِّه مِنْ أَحْكَام وشرائع

“Iman itu adalah membenarkan secara tetap dengan apa yang dibawa oleh Nabi s.a.w daripada Allah s.w.t dan daripada segala hukumhakam dan syariat.”

التقوى هي امتثال أمر الله واجتناب نَهْيِه

“Taqwa pula adalah melaksanakn segala perintah Allah s.w.t dan menjauhi segala larangannya”

 Kerana dengan kedua-duanya dapat memelihara seseorang yang beriman. Maka sesiapa yang hilang keimanan yang sebenar di dalam kehidupannya, sebenarnya dia tidaklah beriman. Dan sesiapa yang hilang ketaqwaannya bersama keimanan, maka dia adalah mu’min yang derhaka. Kedua-duanya diceritakan di dalam al Quran bukanlah wali Allah dan tidak mempunyai karamah sekalipun dia adalah mulia semasa hayatnya. Sesungguhnya karamah ilahiah itu tidaklah berlaku melainkan pada Muslim yang bertaqwa. Firman Allah s.w.t :
 
 وَإِنْ يَمْسَسْكَ اللَّهُ بِضُرٍّ فَلَا كَاشِفَ لَهُ إِلَّا هُوَ وَإِنْ يَمْسَسْكَ بِخَيْرٍ فَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ 
“dan jika Allah mengenakan (menimpakan) engkau dengan bahaya bencana, maka tidak ada sesiapa pun yang dapat menghapuskannya melainkan Dia sendiri; dan jika ia mengenakan (melimpahkan) engkau dengan kebaikan, maka ia adalah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”[4]
Firman Allah s.w.t :
  
قُلْ مَنْ يُنَجِّيكُمْ مِنْ ظُلُمَاتِ الْبَرِّ وَالْبَحْرِ تَدْعُونَهُ تَضَرُّعًا وَخُفْيَةً لَئِنْ أَنْجَانَا مِنْ هَذِهِ لَنَكُونَنَّ مِنَ الشَّاكِرِينَ (63) قُلِ اللَّهُ يُنَجِّيكُمْ مِنْهَا وَمِنْ كُلِّ كَرْبٍ ثُمَّ أَنْتُمْ تُشْرِكُونَ 
63. katakanlah: "Siapakah Yang menyelamatkan kamu dari bencana-bencana di darat dan di laut? (ketika) kamu berdoa merayu kepadanya dengan merendah diri (secara terbuka) dan secara bersembunyi, (dengan berkata): "Demi sesungguhnya jika Allah selamatkan Kami dari bencana ini nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang bersyukur". 64. katakanlah: "Allah jualah yang menyelamatkan kamu dari bencana itu dan dari segala jenis kesusahan; Dalam pada itu, kamu (masih) mempersekutukan (Allah dengan sesuatu yang lain)".[5]

Wajiblah pada syara’ mencegah mereka daripada beri’tiqad yang salah ini dan melakukan ziarah yang haram, dan wajib mengajar mereka tentang aqidah yang benar kerana tidak ada yang selamat daripada balasan Allah s.w.t melainkan dengannya, wallhua’alam.


Terj: Faiz Tanzizi 2011



[1] Fatawa Syeikh Husnain Muhammad Makhluf,
[2] Surah Yunus 63
[3] Surah al Anfal 34                                                
[4] Surah al Ana’am 17
[5] Surah al An’am 63-64

Hukum berdoa secara berjemaah selepas solat




HUKUM BERDOA SECARA BERJEMAAH SELEPAS SOLAT[1]
Fatwa Syeikh Wahbah az Zuhaili

Soalan
Apakah hukum berdoa secara berjemaah antara seorang imam di akhir solat bersama makmum yang solat dibelakangnya?

Jawapan : Masalah ini terdapat perselisihan antara ulama, Imam Syatibi dan muridnya Abu Yahya Ibn Ashim dan Ibn Qasim al Qabab dari Malikiyah r.a berpendapat, tidak pernah diketahui bahawa Rasulullah s.a.w pernah berdoa secara berjamaah. Dan hal itu sentiasa demikian sepanjang umur baginda kemudian para Khalifah ar Rasyidun, setelah mereka kemudian salafussalih. Adapun yang dilakukan oleh kabanyakan ahli Sunnah di antaranya Ibn 'Irfah al Maliki dan jumhur fuqaha' mazhab berdasarkan apa yang disebutkan oleh Hakim di dalam Mustadraknya, sohih isnad hadith yang menyatakan bahawa Nabi s.a.w bersabda yang bererti:

لَا يَجْتَمِعُ مَلَأٌ فَيَدْعُو بَعْضُهُمْ وَ يُؤَمِّنُ الْبَعْضُ إِلَّا أَجَابَهُمُ اللهُ
"Tidak berkumpul sekelompok manusia lalu sebahagian mereka berdoa sementara yang lain mengaminkan kecuali Allah s.w.t akan mengkabulkannya."[2]

Terdapat risalah yang baik dan dapat dipercaya dalam hal dalil berdoa secara berjemaah yang dikumpulkan oleh saudara saya sesama Muslim berbangsa Amerika. Ia telah memberikan kepada saya salinannya di mana di dalamnya terdapat banyak dalil di mana diaminkan oleh orang yang berdoa dan yang mendengar, wallhua’lam.

Terj: Faiz Tanzizi 2012 


[1] Al Fatawa al Mu'asiroh, Prof Dr Wahbah az Zuhaili
[2] Riwayat Hakim (5478)

Adakah wajib bertaqlid kepada salah satu mazhab yang empat ?





BERTAQLID KEPADA SALAH SATU MAZHAB YANG EMPAT[1]
Fatwa Syeikh Abd Malik as Sa'di
Soalan
Adakah seorang Muslim itu dimestikan mengikut mazhab yang tertentu di antara mazhab-mazhab Fiqh yang muncul di dalam Islam, atau dia hanya perlu mengambil hukum daripada daripada al Quran dan hadith sahaja dan mengetepikan mazhab-mazhab tersebut, atau di sana terdapat satu huraian yang lebih lanjut ?

Jawapan : 1. Sekiranya seorang Muslim itu mempunyai kemampuan untuk mengeluarkan hukum daripada ayat al Quran dan hadith serta dapat memahami pengertian yang tersirat daripada kedua-duanya, mampu membezakan di antara dalil khas dengan am, dalil am yang dikhususkan, nasikh dan mansukh, mujmal dan mubayyin, muhkam dan mutasyabih dan mampu untuk menyelaraskan di antara dalil yang zahirnya bercanggah, maka dia diharuskan mengambil hukum terus daripada al Quran dan hadith tanpa perlu merujuk kepada pendapat-pendapat mazhab dan para fuqaha’.
Selain itu, dia juga mesti memiliki sifat-sifat berikut :
a. Mahir Bahasa Arab seperti ilmu Nahu dan Sorof, kerana kedua-dua ilmu tersebut merupakan asas dalam memahami makna lafaz.
b. Mengetahui pendapat para ulama’ berhubung dengan ayat atau hadith tersebut.
c. Mahir dalam memahami ayat-ayat dan hadith-hadith yang berkait dengan hukum-hakam.
d. Mahir dalam kaedah-kaedah usul fiqh.
e. Memiliki sifat taqwa, amanah dan takut kepada Allah s.w.t.
Sekiranya seseorang itu tidak memiliki sifat di atas, adalah dikira sebagai satu kezaliman apabila orang yang tidak tahu membaca ayat al Quran dengan baik dan tidak mampu untuk membaca nas hadith mengikut kaedah ilmu Nahu yang betul, kemudian berani pula mempertikaikan para fuqaha’ dan mazhab-mazhab yang muncul pada zaman di mana bahasa Arab fushah menjadi pertuturan harian mereka dan zaman mereka lebih hampir dengan zaman Nabi s.a.w.
2.Sekiranya seseorang tidak memiliki sifat-sifat di atas dan dia tidak memiliki kemampuan seperti mana yang disebut tadi, maka diwajibkannya bertaqlid kepada mana-mana mazhab daripada mazhab-mazhab yang empat.
Di kira sebagai satu kesalahan juga, sekiranya kita menafsirkan makna ayat al Quran dengan mengatakan bahawa ia ditujukan kepada para fuqaha’, iaitu firman Allah s.w.t :

 اتَّخَذُوا أَحْبَارَهُمْ وَرُهْبَانَهُمْ أَرْبَابًا مِنْ دُونِ اللَّهِ 
“Mereka menjadikan pendita-pendita dan ahli-ahli agama mereka sebagai pendidik-pendidik selain dari Allah”[2]

Qias dengan perkara tersebut kurang tepat kerana para ulama’ Yahudi dan rahib-rahib Nasrani mereka-reka sendiri hukum-hukam kepada kaum mereka yang bertentangan dengan nas-nas dalam kitab Taurat dan Injil, lalu kaum mereka mengikut apa yang mereka keluarkan itu dalam keadaan sedar bahawa hukum-hakam tersebut bercanggah dengan hukum Allah s.w.t, seolah-olah mereka menyamakan ulama’ dan rahib-rahib mereka itu dengan Allah s.w.t dalam menentukan hukum-hakam.

Sedangkan mazhab-mazhab fiqh dalam Islam, mereka bukanlah yang mencetuskan hukum-hakam tetapi mereka cuma berperanan untuk menghurai dan memperjelaskan kehendak ayat dan hadith serta pengertiannya. Selain itu mereka juga yang meletakkan masalah-masalah semasa yang baru timbul pada kehendak-kehendak ayat atau hadith dan memasukkan setiap juzu’ peristiwa yang berlaku di bawah qawa’id syar’iyyah. Ini tidak dapat dilakukan melainkan mereka yang memiliki sifat-sifat yang telah diterangkan tadi.
Perumpamaan mazhab dengan muqallidnya bagaikan dua orang lelaki yang salah seorangnya memiliki penglihatan yang tajam yang dapat melihat kedudukan anak bulan dengan jelas pada awal bulan, manakala seorang lagi mempunyai penglihatan yang kabur yang tidak dapat melihat anak bulan. Lelaki yang pertama tadi menunjukkannya tempat anak bulan itu di langit sehinggalah lelaki kedua dapat melihatnya. Jadi, rukyahnya berlaku dengan perantaraan lelaki yang tajam penglihatannya tadi. 

Begitulah keadaannya dengan mazhab-mazhab, kerana mereka yang mempunyai kemampuan dan kelayakan untuk membezakan di antara dalil yang jelas dengan dalil yang perlu ditakwil, di antara nasikh dan mansukh, memahami nas melalui kaedah-kaedah bahasa, lalu mereka mengeluarkan hukum.

Setelah itu, hukum yang dikeluarkan itu diterima secara lisan atau tulisan oleh mereka yang tidak mempunyai kemampuan dan kelayakan untuk memahami dalil-dalil tadi. Jadi, mazhab-mazhab tadi bukanlah yang mencetuskan hukum-hakam yang bertentangan dengan ajaran Islam dan tidak ada paksaan pada pengikut mereka, lebih-lebih lagi menganggap mereka Tuhan-tuhan selain Allah. Apa yang mereka bahaskan tidak lari dari skop yang dibenarkan oleh Allah s.w.t yang Maha Bijaksana.

Bertaqlid tetapi anti kepada taqlid
Kami pernah bertanya kepada seorang yang anti taqlid “Bagaimana kamu belajar solat ?” Dia menjawab “Melalui seorang yang mengajarkannya kepada saya” Kami bertanya lagi “Adakah daripada al Quran atau hadith ?” Dia menjawab “Tidak” Maka kami pun berkata kepadanya “Bukankah ini juga adalah taqlid kepada seorang yang mengajar kamu solat?!”. Kalau sekiranya dia berkata “Saya Cuma membaca sebuah buku karangan seorang ulama’ pada zaman kini yang membahaskan mengenai solat” Kami akan berkata “Ini juga taqlid kepada pengarang kitab tersebut”.

Adakalanya dia berkata, bertaqlid adalah bid’ah. Bila ditanya kenapa, dia menjwab bahawa “Tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabatnya, bahkan tidak pernah diperintahkan oleh syara’ sebelum ini”. Maka kita bertanya kepadanya “Bagaimana kamu tahu bahawa ia tidak pernah disebut oleh syara’?” Dia menjawab “Aku mendengar seorang syeikh berkata”. Atau pada realitinya dia mendengar daripada lelaki tersebut. Bukankah ini juga adalah taqlid?
                Kenapakah wahai saudaraku, kamu anti mengikut seorang yang hidup pada zaman yang hampir dengan zaman Rasullullah s.a.w, yang mahir dalam selok bahasa Arab dan dalam memahami hadith Rasullullah s.a.w, kemudian kamu merelakan dirimu bertaqlid kepada seorang yang hidup pada zaman kini yang ilmu, kefahaman, warak dan takwanya tidak mencecah lebih daripada buku lali ulama terdahulu. Wallahua’alam.


[1] Al Bid’ah fil Mafhum al Islami ad Daqiq (Himpunan Fatwa Dr Abd Malik as Sa’adi), edisi terjemahan hlm 39
[2] Surah at Taubah 31