Wednesday, 1 May 2013

Adakah Khidir a.s masih hidup ?




KHIDIR A.S MASIH HIDUP ATAU TELAH WAFAT ?[1]
Fatwa Syeikh Yusuf al Qaradhawi
 Soalan
Siapakah Khidir ? Adakah dia seorang Nabi atau Wali ? Adakah dia masih hidup sehingga sekarang sebagai mana didakwa oleh kebanyakan manusia dan sebahagian orang-orang soleh pernah melihatnya ? Sekiranya dia masih hidup di manakah dia tinggal ? Mengapakah dia tidak menzahirkan diri dan menyampaikan ilmu kepada manusia khususnya di zaman ini ? 

Jawapan : Khidir a.s adalah adalah seorang hamba Allah yang soleh yang telah disebut di dalam Surah al Khafi ketika mana Nabi Musa a.s bersahabat dan menuntut ilmu dengannya. Baginda mensyaratkan kepada Nabi Musa a.s supaya bersabar jika ingin menuntut ilmu dengannya sebagai 
mana diceritakan di dalam al Quran:  
قَالَ لَهُ مُوسَى هَلْ أَتَّبِعُكَ عَلَى أَنْ تُعَلِّمَنِ مِمَّا عُلِّمْتَ رُشْدًا (66) قَالَ إِنَّكَ لَنْ تَسْتَطِيعَ مَعِيَ صَبْرًا (67) وَكَيْفَ تَصْبِرُ عَلَى مَا لَمْ تُحِطْ بِهِ خُبْرًا (68) قَالَ سَتَجِدُنِي إِنْ شَاءَ اللَّهُ صَابِرًا وَلَا أَعْصِي لَكَ أَمْرًا
“Nabi Musa berkata kepadanya: “Bolehkah aku mengikutmu, dengan syarat engkau mengajarku dari apa yang telah diajarkan oleh Allah kepadaMu, ilmu yang menjadi petunjuk bagiku?"67. Ia menjawab: "Sesungguhnya engkau (Wahai Musa), tidak sekali-kali akan dapat bersabar bersamaku.68. Dan bagaimana engkau akan sabar terhadap perkara yang engkau tidak mengetahuiNya secara meliputi?69. Nabi Musa berkata: "Engkau akan dapati aku, Insyaa Allah: orang yang sabar; dan aku tidak akan membantah sebarang perintahmu".1 Surah al khafi 66-69

Nabi Musa a.s merasa hairan dengan segala perbuatannya, sehinggalah Khidir a.s mentafsirkan segala perkara yang menghairankannya itu: 

وَمَا فَعَلْتُهُ عَنْ أَمْرِي ذَلِكَ تَأْوِيلُ مَا لَمْ تَسْطِعْ عَلَيْهِ صَبْرًا

“dan (ingatlah) aku tidak melakukannya menurut fikiranku sendiri. Demikianlah penjelasan tentang maksud dan tujuan perkara-perkara yang engkau tidak dapat bersabar mengenainya".[2]

Sebahagian manusia mengatakan Khidir a.s, hidup selepas Nabi Musa a.s sehinggalah zaman Nabi Isa a.s kemudian zaman Nabi Muhammad s.a.w, sesungguhnya dia hidup sehingga sekarang dan akan hidup sehingga kiamat. Dan pelbagai lagi cerita yang mengatakan dia bertemu dengan si fulan dan sebagainya. Tidak ada suatu pun dalil yang mengatakan Khidir a.s masih hidup sehingga sekarang, sebagaimana yang mereka sangka bahkan sebaliknya. Di sana terdapat dalil daripada al Quran dan Sunnah serta kebanyakan pendapat ulama’ yang mengatakan bahawasanya Khidir a.s telah wafat.
Di dalam kitab “al Manar al Munif fil Hadith as Sohih wad Dhoif”. Ibn Qayyim menyebut di dalam kitab ini tentang hadith-hadith maudhu’ yang tidak diterima oleh agama, iaitu hadith-hadith yang menceritakan tentang Khidir a.s dan kehidupannya. Semuanya adalah dusta dan tidak benar. Seperti hadith “Sesungguhnya Nabi s.a.w pernah berada di masjid, tiba-tiba terdengar satu suara, apabila para sahabat pergi melihatnya didapati dia adalah Khidir” dan hadith “Khidir dan Ilyas a.s bertemu pada setiap tahun” dan hadith “Berhimpunnya Jibril a.s , Mikail a.s dan Khidir a.s di Arafah”.
Ditanya kepada Ibrahim al Harbi r.a tentang Khidir a.s yang dia masih hidup hingga kini kata beliau “Aku tidak pernah bertemu perkara ini di kalangan manusia melainkan syaitan”. Dan ditanya kepada Imam Bukhari tentang Khidir dan Ilyas a.s adakah mereka masih hidup, kata beliau “Bagaimanakah perkara ini boleh berlaku bukankah Nabi s.a.w telah bersabda”:

فَإِنَّ عَلَى رَأْسِ مِائَةِ سَنَةٍ مِنْهَا لاَ يَبْقَى مِمَّنْ هُوَ عَلَى ظَهْرِ الأَرْضِ أَحَدٌ
Setelah lewat seratus tahun, tidak seorang pun yang sekarang masih hidup di muka bumi.”[3]

Ditanya kepada ramai ulama’ tentang Khidir a.s mereka menjawab dengan firman Allah s.w.t :

 وَمَا جَعَلْنَا لِبَشَرٍ مِنْ قَبْلِكَ الْخُلْدَ أَفَإِنْ مِتَّ فَهُمُ الْخَالِدُونَ
 “Dan Kami tidak menjadikan seseorang manusia sebelummu dapat hidup kekal (di dunia ini). maka kalau Engkau meninggal dunia (Wahai Muhammad), adakah mereka akan hidup selama-lamanya?[4]

Ibn Taimiah r.a berkata “Kalaulah Khidir a.s masih hidup maka wajiblah dia bertemu dengan Nabi s.a.w berjihad dan menuntut ilmu dengannya” sabda Nabi s.a.w ketika peperangan Badar :
اللَّهُمَّ إِنْ تَهْلِكْ هَذِهِ الْعِصَابَةُ مِنْ أَهْلِ الإِسْلاَمِ لاَ تُعْبَدْ فِى الأَرْضِ
“Ya Allah sekiranya engkau musnahkan kumpulan ini maka tidak ada siapa lagi yang akan menyembah Mu di bumi ini”

Ketika itu mereka hanya seramai 313 yang ma’ruf namanya, maka di manakah Khidir ketika itu?. Al Quran dan Sunnah serta kalam ulama’ menafikan Khidir a.s masih hidup. Sebagaimana firman Allah s.w.t:
وَمَا جَعَلْنَا لِبَشَرٍ مِنْ قَبْلِكَ الْخُلْدَ أَفَإِنْ مِتَّ فَهُمُ الْخَالِدُونَ
 “Dan Kami tidak menjadikan seseorang manusia sebelummu dapat hidup kekal (di dunia ini) maka kalau engkau meninggal dunia (Wahai Muhammad), adakah mereka akan hidup selama-lamanya?[5]

Maka Khidir a.s sekiranya dia manusia, dia tidak akan kekal. Sekiranya dia masih wujud nescaya dia akan bertemu dengan Nabi s.a.w. Sabda abi s.a.w:

لَوْ كَانَ مُوسَى حَيّاً بَيْنَ أَظْهَرِكُمْ مَا حَلَّ لَهُ إِلَّا أَنْ يَتَّبِعُنِي
“Sekiranya Musa a.s masih hidup di kalangan kamu tidak ada pilihan lain baginya melainkan dia mesti mengikutku”[6]

Sekiranya Khidir a.s seorang Nabi, maka baginda bukanlah lebih baik daripada Musa a.s. Sekiranya seorang Wali maka baginda bukanlah lebih baik daripada Abu Bakar as Siddiq. Apakah hikmah dia kekal hingga ke hari ini sebagaimana sangkaan orang ramai yang dia tinggal di padang-padang pasir atau bukit-bukit ? Apakah perkara ini ?. Sesungguhnya manusia suka cenderong kepada perkara-perkara pelik dan ajaib, dan suka kepada kisah-kisah dongeng. Segala hikayat-hikayat yang menceritakan tentang Khidir a.s hanyasanya adalah rekaan semata-mata.
Adapun soalan adakah Khidir a.s seorang Nabi atau Wali ? Maka ulama’ berbeza pendapat tentangnya. Mudah-mudahan baginda seorang Nabi sebagaimana datang di dalam ayat: 

وَمَا فَعَلْتُهُ عَنْ أَمْرِي

 “dan (ingatlah) Aku tidak melakukannya menurut fikiranku sendiri. ".[7]

Maka yang paling rajihnya pada saya baginda adalah seorang Nabi bukanlah wali, wallahua’lam.

Terj: Faiz Tanzizi 2010






[1] Fatwa Mua’sirah, Dr Yusuf al Qardhawi jld 1 hlm 193
[2] Surah al Khafi 82
[3] Riwayat Muslim (6642)
[4] Surah al Anbia’ 34
[5] Surah al Anbia’ 34
[6] Riwayat Ahmad (14672)
[7] Surah al Kahfi 82

No comments:

Post a Comment