Wednesday, 1 May 2013

Adakah Allah s.w.t itu bertempat ?







ADAKAH ALLAH ITU BERTEMPAT ?[1]
Fatwa Syeikh Ali Juma’h Muhammad as Syafei
Soalan
Saya merupakan seorang pelajar Syariah yang menuntut di Al Azhar. Saya telah mempelajari di dalam ilmu aqidah yang menyebutkan bahawa : Sesungguhnya Allah itu wujud tidak bertempat dan Allah tidak terbatas pada sesuatu arah. Harap tuan terangkan kepada saya dengan lebih mendalam mengenai perkara ini, kerana didapati ada pendapat lain yang bertentangan dengan apa yang saya pelajari dan pendapat ini juga menyerang pendapat yang diputuskan oleh ulama-ulama al Azhar.

Jawapan: Perkara yang telah menjadi ketetapan di dalam ilmu aqidah dan diimani oleh kaum Muslimin mengenai hakikat kewujudan Allah adalah :

“Allah wujud tidak bertempat serta kewujudannya tidak terbatas dengan had masa, kerana tempat dan masa merupakan di antara makhluk yang diciptakan olehNya. Kekuasaan Allah s.w.t meliputi segala makhluknya yang diciptakanNya.” Pendapat atau iktiqad ini telah disepakati dan dipegang oleh semua kaum Muslimin. Para ilmuan juga telah merangkumkan penjelasan mengenai kepercayaan kepada Allah ini dengan satu kiasan pendapat : 

كان الله و لا مكان و هو الآن على ما عليه كان
“Allah itu wujud tanpa bertempat, Dia telah ada sebelum sesuatu tempat diciptakan, dan tidak akan sesekali berubah keberadaan dan kewujudan Allah.”

Pendapat ini disimpulkan oleh para ulama’ salaf.
Telah berkata Imam Ja’afar as Sadiq,:
“Sesiapa yang mengatakan bahawa Allah s.w.t ada pada sesuatu, wujud dari sesuatu, atau bertempat di atas sesuatu, maka dia telah dikira menyekutukan Allah. Sekiranya Allah bertempat pada sesuatu maka kewujudan Allah itu terbatas, jika Dia terletak di atas sesuatu, maka Allah itu lemah, sekiranya Allah wujud dari sesuatu, maka Allah itu baharu”
Pendapat dari Yahya bin Mua’z Ar-Razi:
“Terangkan kepada kami tentang hakikat Allah? Maka jawabnya: Tuhan yang satu, Maka ditanya lagi, Bagaimanakah Allah itu?, Maka jawabnya: Pemilik yang berkuasa. Di manakah Allah?, Jawabnya : Dia mengawasi setiap makhluknya. Bertanya lagi si penanya, Tidak pernahkah kamu ditanya soalan sebegini sebelum ini?, Jawab Yahya : Selain dari apa yang aku katakan ini, ianya merupakan sifat makhluk. Mengenai sifat Allah, aku pun tidak dikhabarkan tentang itu.” 

Telah ditanyakan kepada Zunnun Al Misri mengenai firman Allah :
                                                 الرحمن على العرش استوى
Maka jawab Zunnun,
“Telah tetap ZatNya, dan Dia tidak bertempat. Allah wujud dengan zatNya, dan segala sesuatu tertakluk di bawah kekuasaaNya sebagaimana yang Dia kehendaki.” 

Sebagaimana dalil-dalil yang terdapat di dalam al Quran dan hadis yang membuktikan ketinggian Allah s.w.t ke atas semua makhlukNya, maka semua makna ketinggian Allah s.w.t ialah kedudukan, kemuliaan, dan penguasaan. Ini kerana Allah itu suci daripada menyerupai makhluk-makhluknya, berbeza sifat Allah s.w.t dari sifat hamba-hambaNya. Bukanlah dari sifat Allah itu berkait dengan sifat makhluk dari sebarang kelemahan, bahkan bagiNya segala sifat ketinggian dan kemulian serta kesempurnaan nama-nama Allah.
Setiap apa yang terlintas di fikiran, maka Allah s.w.t berbeza dari apa yang kamu sangkakan. Sebarang kelemahan pada zat Allah s.w.t merupakan suatu peringkat yang paling rendah yang lahir dari persepsi dan perasaan kamu sendiri. Juga, usaha untuk mencari hakikat sebenar mengenai zat Allah s.w.t boleh membawa kamu ke arah jalan mensyirikkan Allah.

Aqidah yang dipegang oleh al Azhar merupakan aqidah al Asyai’rah iaitu salah satu dari aqidah ahli sunnah wal jamaah. Selain itu, pendapat al Asya’irah atau ulama-ulama mazhab Asya’irah ini merupakan di antara pendapat jumhur ulama Islam. Merekalah yang berusaha menangkis dan menghalang dari tersebarnya pendapat yang meragukan mengenai sifat Allah seperti mana yang dikatakan oleh golongan mulhid dan selain dari mereka. Mereka berpegang dengan kitab Allah s.w.t serta sunnah Rasulullah s.a.w sejak berzaman. Maka sesiapa yang mengingkari atau menyalahi pendapat mereka, maka ditakuti akan kefahamannya terpesong terhadap agama Islam ini.[2]

Pendapat Imam Al-Hafiz Ibn ‘Asakir di dalam kitabnya : (Penjelasan mengenai pembohongan dan cerita palsu, berpandukan kepada pendapat Imam Abu Hasan Al Asy’ari):

“Ketahuilah, aku yakin dengan Allah, juga kepadaNyalah tempat aku memohon keredhaanNya. Yang menjadikan kita termasuk dalam golongan orang yang bertakwa dengan sebenar-benar taqwa. Kini, hati dan jasad para ulama telah diracun. Walaubagaimanapun, Allah akan mengembalikan dan membuka kembali rahsia kebenaran dan membuka perkhabaran golongan yang merendah-rendahkan para ulama. Sesiapa yang suka mengutuk para ulama’ (menjatuhkan para ulama), maka ketahuilah bahawa Allah s.w.t akan membalas segala perbuatan mereka itu sebelum kematian mereka, iaitu dengan cara mematikan hati-hati mereka dari menerima kebenaran.”
Universiti al Azhar as Syarif merupakan tempat dan gedung cahaya ilmu dan agama dari zaman sejarah kebangkitan Islam lagi. Kemuliaan, ketinggiannya sebagai tempat rujukan dan sumber ilmu telah terkenal di kalangan umat Islam sejak kurun awal penubuhannya. Yakinlah, Allah akan menjaga agamaNya dan akan melawan segala anasir-anasir yang bertentangan dengan kehendak Islam. Maka ingatlah, orang yang melibatkan diri dalam perkara yang berlawanan dengan aqidah Islam yang dipegang oleh al Azhar, sesungguhnya dia berada dalam bahaya yang besar. Dikhuatiri mereka ini akan termasuk di dalam golongan puak Khawarij atau orang-orang yang menyebarkan berita palsu yang mana mereka ini telah disebut di dalam firman Allah :

لَئِنْ لَمْ يَنْتَهِ الْمُنَافِقُونَ وَالَّذِينَ فِي قُلُوبِهِمْ مَرَضٌ وَالْمُرْجِفُونَ فِي الْمَدِينَةِ لَنُغْرِيَنَّكَ بِهِمْ ثُمَّ لَا يُجَاوِرُونَكَ فِيهَا إِلَّا قَلِيلًا
 “Demi sesungguhnya, jika orang-orang munafik, dan orang-orang yang ada penyakit (syak ragu-ragu) dalam hatinya, serta orang-orang yang menyebarkan berita-berita dusta di Madinah itu tidak berhenti (dari perbuatan jahat masing-masing), nescaya Kami akan mendesakmu memerangi mereka; sesudah itu mereka tidak akan tinggal berjiran denganmu di Madinah lagi melainkan sebentar sahaja”[3]
 
Wallahua'alam.
 
Terj: Faiz Tanzizi 2011 
[1] Al Kalimu at Tayyib (Fatawa Asriah). Dr Ali Juma’ah Muhammad hlm   327
[2] Tambahan penyusun : Saranan Dr. Yusuf Al Qaradhawi Agar Aqidah Al-Asy'airah Terus Dijaga Di Malaysia: Dr. Yusuf Al-Qaradhawi menyeru kepada rakyat Malaysia agar menjaga syakhsiah (peribadi, jati diri atau ciri-ciri) keislamannya yang terzahir daripada mazhabnya Syafi’e dan aqidahnya (masyarakat Islam Malaysia) yang al Asy’ari untuk berdiri menghadapi dan mendepani serangan pemikiran dari luar. Beliau menyeru para ulama’ agar bersatu padu untuk menjaga jati diri keislaman (Syahksiyyah Islamiyyah) Malaysia yang bersifat “Asy’ari dari sudut aqidah dan Syafi’e dari sudut mazhab” untuk menghadapi segala ancaman pemikiran dan mazhab dari luar yang memecah belahkan kesatuan mereka dan merosakkan aqidah mereka.(www.islamonline.net)

Tambahan penyusun : Al Imam al Safarini (wafat 1188 Hijrah) menyebut: Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah terbahagi kepada tiga pecahan iaitu al Asariyyah (Imam Ahmad bin Hanbal r.a), kedua al-Asy’ai’rah, (Imam Abu al Hasan al-Asy’ari r.a), dan ketiga al-Maturidiah, (Imam Abu Manshor al-Maturidi. Al-Fadhil Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dalam bukunya Fahaman dan Ideologi Umat Islam pula membahagikan Ahl al-Sunnah kepada empat golongan. Iaitu: al-Asya’irah, al-Maturidiyyah, al-Salafiyyah, dan al-Wahhabiyyah. Maulana Muhammad Asri menukilkan pembahagian Ahlu al Sunnah oleh Syah Waliyy al Allah al Dahlawi kepada tiga golongan iaitu: Ahlu al Quran wa al Hadith, Ahlu al-Nadzhar, dan Ahlu al Kasyf wa al Wijdan. Ahl al-Quran wa al-Hadits adalah Imam Ahmad bin Hanbal. Ahlu al Nadzhar pula al Imam Abu al Hasan manakala Ahlu al Kasyf wa al Wijdan pula adalah ahli tasawwuf.
[3] Surah al Ahzab 60

No comments:

Post a Comment