BERTAQLID KEPADA
SALAH SATU MAZHAB YANG EMPAT[1]
Fatwa Syeikh Abd Malik as Sa'di
Soalan
Adakah seorang Muslim itu
dimestikan mengikut mazhab yang tertentu di antara mazhab-mazhab Fiqh yang
muncul di dalam Islam, atau dia hanya perlu mengambil hukum daripada daripada
al Quran dan hadith sahaja dan mengetepikan mazhab-mazhab tersebut, atau di
sana terdapat satu huraian yang lebih lanjut ?
Jawapan : 1. Sekiranya
seorang Muslim itu mempunyai kemampuan untuk mengeluarkan hukum daripada ayat
al Quran dan hadith serta dapat memahami pengertian yang tersirat daripada
kedua-duanya, mampu membezakan di antara dalil khas dengan am, dalil am yang
dikhususkan, nasikh dan mansukh, mujmal dan mubayyin, muhkam dan mutasyabih dan
mampu untuk menyelaraskan di antara dalil yang zahirnya bercanggah, maka dia
diharuskan mengambil hukum terus daripada al Quran dan hadith tanpa perlu
merujuk kepada pendapat-pendapat mazhab dan para fuqaha’.
Selain itu, dia juga mesti
memiliki sifat-sifat berikut :
a. Mahir Bahasa Arab seperti ilmu
Nahu dan Sorof, kerana kedua-dua ilmu tersebut merupakan asas dalam memahami
makna lafaz.
b. Mengetahui pendapat para
ulama’ berhubung dengan ayat atau hadith tersebut.
c. Mahir dalam memahami ayat-ayat
dan hadith-hadith yang berkait dengan hukum-hakam.
d. Mahir dalam kaedah-kaedah usul
fiqh.
e. Memiliki sifat taqwa, amanah
dan takut kepada Allah s.w.t.
Sekiranya seseorang itu tidak
memiliki sifat di atas, adalah dikira sebagai satu kezaliman apabila orang yang
tidak tahu membaca ayat al Quran dengan baik dan tidak mampu untuk membaca nas
hadith mengikut kaedah ilmu Nahu yang betul, kemudian berani pula
mempertikaikan para fuqaha’ dan mazhab-mazhab yang muncul pada zaman di mana
bahasa Arab fushah menjadi pertuturan harian mereka dan zaman mereka lebih
hampir dengan zaman Nabi s.a.w.
2.Sekiranya seseorang tidak
memiliki sifat-sifat di atas dan dia tidak memiliki kemampuan seperti mana yang
disebut tadi, maka diwajibkannya bertaqlid kepada mana-mana mazhab daripada
mazhab-mazhab yang empat.
Di kira sebagai satu kesalahan
juga, sekiranya kita menafsirkan makna ayat al Quran dengan mengatakan bahawa
ia ditujukan kepada para fuqaha’, iaitu firman Allah s.w.t :
اتَّخَذُوا أَحْبَارَهُمْ وَرُهْبَانَهُمْ أَرْبَابًا مِنْ دُونِ اللَّهِ
“Mereka menjadikan pendita-pendita
dan ahli-ahli agama mereka sebagai pendidik-pendidik selain dari Allah”[2]
Qias dengan perkara tersebut
kurang tepat kerana para ulama’ Yahudi dan rahib-rahib Nasrani mereka-reka
sendiri hukum-hukam kepada kaum mereka yang bertentangan dengan nas-nas dalam
kitab Taurat dan Injil, lalu kaum mereka mengikut apa yang mereka keluarkan itu
dalam keadaan sedar bahawa hukum-hakam tersebut bercanggah dengan hukum Allah
s.w.t, seolah-olah mereka menyamakan ulama’ dan rahib-rahib mereka itu dengan
Allah s.w.t dalam menentukan hukum-hakam.
Sedangkan mazhab-mazhab fiqh
dalam Islam, mereka bukanlah yang mencetuskan hukum-hakam tetapi mereka cuma
berperanan untuk menghurai dan memperjelaskan kehendak ayat dan hadith serta
pengertiannya. Selain itu mereka juga yang meletakkan masalah-masalah semasa
yang baru timbul pada kehendak-kehendak ayat atau hadith dan memasukkan setiap
juzu’ peristiwa yang berlaku di bawah qawa’id syar’iyyah. Ini tidak dapat
dilakukan melainkan mereka yang memiliki sifat-sifat yang telah diterangkan
tadi.
Perumpamaan mazhab dengan
muqallidnya bagaikan dua orang lelaki yang salah seorangnya memiliki
penglihatan yang tajam yang dapat melihat kedudukan anak bulan dengan jelas
pada awal bulan, manakala seorang lagi mempunyai penglihatan yang kabur yang
tidak dapat melihat anak bulan. Lelaki yang pertama tadi menunjukkannya tempat
anak bulan itu di langit sehinggalah lelaki kedua dapat melihatnya. Jadi,
rukyahnya berlaku dengan perantaraan lelaki yang tajam penglihatannya tadi.
Begitulah keadaannya dengan
mazhab-mazhab, kerana mereka yang mempunyai kemampuan dan kelayakan untuk
membezakan di antara dalil yang jelas dengan dalil yang perlu ditakwil, di
antara nasikh dan mansukh, memahami nas melalui kaedah-kaedah bahasa, lalu
mereka mengeluarkan hukum.
Setelah itu, hukum yang
dikeluarkan itu diterima secara lisan atau tulisan oleh mereka yang tidak
mempunyai kemampuan dan kelayakan untuk memahami dalil-dalil tadi. Jadi,
mazhab-mazhab tadi bukanlah yang mencetuskan hukum-hakam yang bertentangan dengan
ajaran Islam dan tidak ada paksaan pada pengikut mereka, lebih-lebih lagi
menganggap mereka Tuhan-tuhan selain Allah. Apa yang mereka bahaskan tidak lari
dari skop yang dibenarkan oleh Allah s.w.t yang Maha Bijaksana.
Bertaqlid tetapi anti kepada
taqlid
Kami pernah bertanya kepada
seorang yang anti taqlid “Bagaimana kamu belajar solat ?” Dia menjawab “Melalui
seorang yang mengajarkannya kepada saya” Kami bertanya lagi “Adakah daripada al
Quran atau hadith ?” Dia menjawab “Tidak” Maka kami pun berkata kepadanya
“Bukankah ini juga adalah taqlid kepada seorang yang mengajar kamu solat?!”.
Kalau sekiranya dia berkata “Saya Cuma membaca sebuah buku karangan seorang
ulama’ pada zaman kini yang membahaskan mengenai solat” Kami akan berkata “Ini
juga taqlid kepada pengarang kitab tersebut”.
Adakalanya dia berkata, bertaqlid
adalah bid’ah. Bila ditanya kenapa, dia menjwab bahawa “Tidak pernah dilakukan
oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabatnya, bahkan tidak pernah diperintahkan
oleh syara’ sebelum ini”. Maka kita bertanya kepadanya “Bagaimana kamu tahu
bahawa ia tidak pernah disebut oleh syara’?” Dia menjawab “Aku mendengar
seorang syeikh berkata”. Atau pada realitinya dia mendengar daripada lelaki
tersebut. Bukankah ini juga adalah taqlid?
Kenapakah
wahai saudaraku, kamu anti mengikut seorang yang hidup pada zaman yang hampir
dengan zaman Rasullullah s.a.w, yang mahir dalam selok bahasa Arab dan dalam
memahami hadith Rasullullah s.a.w, kemudian kamu merelakan dirimu bertaqlid
kepada seorang yang hidup pada zaman kini yang ilmu, kefahaman, warak dan
takwanya tidak mencecah lebih daripada buku lali ulama terdahulu. Wallahua’alam.
No comments:
Post a Comment