Wednesday, 1 May 2013

Hukum lupa hafalan al Quran




HUKUM LUPA HAFALAN AL QURAN[1]
Fatwa Syeikh Ibrahim al Hafnawi
Soalan
Saya telah menghafal al Quran tetapi disebabkan terlalu sibuk dan leka dengan urusan kehidupan saya tidak sempat mengulangi hafalan saya, adakah saya berdosa ?

Jawapan : Di antara nikmat yang paling besar yang Allah s.w.t kurniakan kepada hambanya adalah dia mendapat taufiq atau mendapat kekuatan untuk menghafal al Quran dan beramal dengannya. Ahli al Quran akan berada di dalam syurga mengikut kadar apa yang ia hafal , sabda Nabi s.a.w:
يقال لصاحب القرآن اقرأ وارق ورتل كما كنت ترتل في الدنيا فإن منزلتك عند آخر آية تقرؤها
“Akan dikatakan kepada shohibul Qur’an, bacalah, naiklah dan bacalah dengan baik sebagaimana kamu membacanya dengan baik di dunia, kerana kedudukanmu adalah di akhir ayat yang engkau baca”[2]

Makna hadith ini bermaksud, bahawasanya akan dikatakan kepada orang yang menghafal al Quran secara semuanya atau sebahagiannya dia mempunyai beberapa tingkatan atau kedudukan di dalam syurga  “bacalah dan naiklah ke tingkatan-tingkatan syurga dengan kadar hafalanmu daripada bilangan ayat-ayat al Quran”.
                Imam al Baihaqi telah meriwayatkan bahawasanya Nabi s.a.w bersabda :

عَدَدُ دَرَجِ الْجَنَّةِ عَدَدُ آيِ الْقُرْآنِ، فَمَنْ دَخَلَ الْجَنَّةَ مِنْ أَهْلِ الْقُرْآنِ فَلَيْسَ فَوْقَهُ دَرَجَةٌ  قَالَ الْحَاكِمُ:  هَذَا إِسْنَادٌ صَحِيحٌ
“Bilangan darjat syurga itu adalah mengikut bilangan ayat-ayat al Quran, maka sesiapa yang masuk ke dalam syurga di kalangan ahli Quran, maka tidak ada di atasnya darjat[3]

Kebahagian itu adalah dengan menghafal al Quran dan beramal dengannya. Apabila Allah s.w.t telah mengurniakan kepada engkau nikmat menghafal kalamnya, maka di antara kesalahan besar itu adalah engkau melupakannya dan tidak beramal dengannya. Sesungguhnya Nabi  s.a.w telah bersabda :

مَا مِنَ امْرِئٍ يَقْرَأُ الْقُرْآنَ ثُمَّ يَنْسَاهُ إِلاَّ لَقِيَ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَجْذَمَ
“Tiada seorang pun daripada orang yang mempelajari al Quran , kemudian dia lupa akan hafalannya itu melainkan dia akan menemui Allah kelak pada hari akhirat di dalam keadaan cacat anggotanya”[4]
Sesungguhnya ulama’ berbeza pendapat tentang maksud lupa di dalam hadith ini, adakah lupa beramal dengannya, atau tidak menghalalkan apa yang dihalalkan oleh Allah dan tidak mengharamkan apa yang diharamkan olehNya ? Atau dengan maksud lupa yang hakiki, iaitu lupa setelah ia menghafalnya ?
                Imam Syafei dan selainnya berpendapat lupa dalam bentuk hakiki. Iaitu sesiapa yang menghafal al Quran atau sesuatu daripadanya lalu ia melupakannya maka dia telah melakukan dosa yang besar, dan wajib ke atasnya bertaubat dan menghafal kembali apa yang ia telah lupa.
                Imam Malik dan selainnya berpendapat, haram hanya sekadar hafalan yang wajib menjadi sah solat dengannya, sekiranya ia lupa maka hukumnya adalah haram dan apa yang lebih daripada itu, sekiranya ia lupa menjadi makroh.
                Saya berpandangan, lupa apa yang telah dihafal daripada al Quran boleh menjadi haram dan mendapat siksaan daripada Allah s.w.t dan dia akan datang pada Hari Kiamat kelak dalam keadaan kosong daripada kebaikan lagi tidak ada hujah baginya.
                Sedangkan waktu itu al Quran memberi syafaat dan menjadi hujah kepada ahlinya, dia tidak layak mendapat syafaat kerana dia telah meninggalkan hafalannya dan mengabaikan pengajiannya.
Ibn Mas’ud berkata :
“Apabila aku suka untuk berbicara dengan Tuhanku, aku akan sembahyang dan apabila aku suka Tuhanku berbicara denganku, aku akan membaca al Quran”.
Wallahua’alam.

Terj: Faiz Tanzizi 2011


[1] Fatawa Syari’yyah Mua’sirah, Dr. Muhammad Ibrahim al Hafnawi, hlm 21
[2] Riwayat Ahmad (6799)
[3] Riwayat Baihaqi (1834)
[4] Riwayat Abu Daud (1474)

No comments:

Post a Comment