Wednesday, 1 May 2013

Khidir a.s telah wafat tetapi masih hidup dengan kelebihannya




KHIDIR TELAH WAFAT TETAPI MASIH HIDUP DENGAN KELEBIHANNYA[1]
Fatwa Syeikh Abd Malik as Sa'di
Soalan
Apakah pandangan kamu tentang Saidina Khidir a.s ? Dan bagaimana pula tentang kata-kata Umar Abdul Aziz “Itulah saudaraku Khidir a.s yang menemuiku, dia mengkhabarkan kepadaku bahawa aku akan dilantik menjadi khalifah dan akan memerintah dengan penuh keadilan ?”

Jawapan : Sebelum daripada itu, aku berharap semua daripada kita mengetahuinya bahawa pendapat menegenai Khidir a.s  masih hidup atau telah mati, tidak membawa apa-apa kemajuan atau kemunduran terhadap umat Islam pada hari ini, kerana persoalan ini bukanlah termasuk di dalam persoalan-persoalan aqidah yang dasar dan juga bukan termasuk di dalam perkara-perkara ibadah. Bahkan persoalan ini juga tidak memberi apa-apa faedah kepada umat Islam sekiranya kita menjadikan perkara furu’ seperti ini sebagai penyebab untuk berselisih pendapat, bertelagah dan berpecah belah. Tidak sepatutnya berlaku sepertimana sekarang ini, yang mana terdapat segolongn manusia yang melemparkan tuduhan kafir terhadap golongan lain yang mengatakan Saidina Khidir a.s masih hidup, dan golongan lain pula menuduh sesat pada mereka yang mengatakan Saidina Khidir a.s telah pun wafat. Maka perselisihan ini tidaklah memberi sebarang perkhidmatan kepada umat Islam dan juga boleh menyatukan umat Islam.
                Jumhur ulama’ berpendapat Saidina Khidir masih hidup. Mereka berdalilkan dengan sebilangan hadith dan athar yang diriwayatkan daripada mereka yang pernah bertemu dengan Khidir a.s dari kalangan para sahabat, tabien dan generasi selepas mereka, tetapi dalil-dalil tadi tidak terlepas daripada wujudnya kelemahan pada sanadnya. Walaubagaimanapun, sekiranya digabungkan semuanya, boleh memadai bagi mereka yang Khidir a.s masih hidup.
                Dalil yang paling sohih yang menunjukkan Khidir a.s masih hidup adalah sepertimana yang disebut oleh Imam Ibn Hajar al A’sqalani di dalam kitabnya al I’shabah ketika menceritakan riwayat hidup Khidir ialah sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Rabah Bin U’baidah :
عَنْ رَبَاح بْنِ عُبَيْدَةٍ قَالَ: رَأَيْتُ رَجُلًا يُمَاشِي عُمَرَ بْنَ عَبْدِ الْعَزِيزِ مُعْتَمِدًا عَلَى يَدِهِ فَقُلْتُ فِي نَفْسِي إِنْ هَذَا الرَّجُلُ جَافٍ ,فَلَمَّا صَلَّى قُلْتُ يَا أَبَا حَفْصٍ , مَنِ الرَّجُلُ الَّذِي كَانَ مَعَكَ مُعْتَمِدًا عَلَى يَدِكَ آنِفًا ؟ قَالَ: وَقَدْ رَأَيْتَهُ يَا رَبَاح ؟ قُلْتُ نَعَمْ قَالَ: إِنِّي لَأَرَاكَ رَجُلًا صَالِحًا ذَاكَ أَخِي الْخِضِر بَشَّرَنِي أَنِّي سألي فَأَعْدَل
Daripada Rabah Bin U’baidah berkata “Aku pernah melihat seorang lelaki berjalan dengan Umar Bin Abdul Aziz sambil memegang tangannya, lalu aku berkata di dalam diriku lelaki ini pelek” setelah Umar selesai solat aku berkata “Wahai Abu Hafs siapakah lelaki yang besama dengan engkau sambil memegang tangan engkau sebentar tadi ?” Umar berkata “Benarkah engkau telah melihatnya ?”Aku berkata ya, dia berkata “Sesungguhnya aku yakin engkau adalah seorang lelaki yang soleh, dia adalah saudaraku Khidir a.s yang mengkhabarkan kepadaku bahawa aku akan dilantik menjadi pemimpin dan akan memerintah dengan penuh adil”[2]
Walaupun kisah ini benar ia tidak boleh dijadikan dalil bahawa hidupnya panjang melebihi seratus tahun selepas wafat Rasulullah s.a.w kerana pertemuan Umar dengan Khidir a.s itu masih dalam lingkungan seratus tahun.
Mereka yang berpendapat Khidir a.s telah wafat adalah berpandukan dengan sebilangan dalil yang kami akan sebutkan sebentar lagi. Namun begitu ia bukanlah dalil yang qati’e yang boleh dijadikan dalil ke atas kewafatan tetapi ia boleh ditakwilkan secara zahir pada lafaznya. Dalil-dalil berikut adalah :
1. Sebuah hadith yang sohih yang dipersetujui kesahihannya yang diriwayatkan daripada Ibn Umar, Jabir dan selainnya bahawa Nabi s.a.w menunaikan solat Isyak pada suatu malam di saat-saat akhir hayatnya. Setelah selesai memberi salam Nabi s.a.w bersabda :
أَرَأَيْتَكُمْ لَيْلَتَكُمْ هَذِهِ فَإِنَّ رَأْسَ مِئَةِ سَنَةٍ مِنْهَا لاَ يَبْقَى مِمَّنْ هُوَ عَلَى ظَهْرِ الأَرْضِ أَحَدٌ
“Tahukah kamu pada malam kamu ini, sesungguhnya pada setiap awal seratus tahun tidak ada seorang pun yang kekal di atas muka bumi ini.”[3]

Jawapan :
Ulama’ daripada golongan yang pertama menyangkal hujah tadi seperti berikut :
a. Hadith ini menyebut secara umum dan terdapat pengecualian daripadanya seperti Iblis dan Dajjal yang telah pun wujud pada ketika itu dan hayat mereka masih berterusan. Mungkin Saidina Khidir a.s boleh tergolong di dalam pengecualian di dalam hadith ini.
b. Sepertimana yang terdapat di dalam hadith yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad iaitu pada lafaz “Di kalangan kamu”, berkemungkinan bermaksud para sahabat yang hadhir di masjid ketika itu, sedangkan Khidir a.s tidak bersama dengan mereka.
c. Nabi s.a.w menyebut “Di permukaan bumi”, berkemungkinan Khidir a.s berada di atas permukaan lautan sebagaimana keadaannya, maka tidak termasuk dalam umum hadith tadi.
2. Di antara dalil lain yang dikemukakan oleh golongan yang kedua ialah berpandukan firman Allah s.w.t:

وَمَا جَعَلْنَا لِبَشَرٍ مِنْ قَبْلِكَ الْخُلْدَ أَفَإِنْ مِتَّ فَهُمُ الْخَالِدُونَ 
“Dan Kami tidak menjadikan seseorang manusia sebelummu dapat hidup kekal (di dunia ini), maka kalau engkau meninggal dunia (Wahai Muhammad), adakah mereka akan hidup selama-lamanya?”[4]
Jawapan :
Hujah ini disangkal dengan mengatakan ; Ayat ini tidak menunjukkan bahawa Khidir a.s telah pun wafat. Sekiranya ayat ini bermaksud untuk menafikan hidup yang kekal abadi selain daripada Nabi s.a.w, maka ia meliputi Khidir a.s dan selainnya, kerana Khidir a.s akan wafat pada akhir zaman dan tidak akan hidup kekal.
Selain daripada Khidir a.s, Nabi Isa a.s juga masih hidup sedangkan beliau lebih dahulu daripada Nabi s.a.w, walaubagaimanapun Nabi Isa a.s juga tidak kekal dan akan wafat juga.
3. Mereka juga berhujah, sekiranya Khidir a.s masih hidup sudah tentu beliau akan datang menemui Nabi s.a.w dan bertemu dengan baginda.
Jawapan :
Hujah ini boleh disangkal dengan mengatakan, tidak semestinya seorang yang hidup sezaman dengan Nabi s.a.w dan beriman dengan baginda mesti menemui Nabi s.a.w. Uwais al Qarni juga hidup sezaman dengan Nabi s.a.w, tetapi beliau tidak pernah bertemu dengan Nabi s.a.w. Begitu juga an Najasyi yang hidup sezaman dengan Nabi s.a.w, beliau tidak pernah bertemu dengan Nabi s.a.w.
4. Mereka juga berdalilkan dengan doa Nabi s.a.w pada peperangan Badar iaitu  :
اللَّهُمَّ إِنْ تَهْلِكْ هَذِهِ الْعِصَابَةُ مِنْ أَهْلِ الإِسْلاَمِ لاَ تُعْبَدْ فِى الأَرْضِ
“Ya Allah sekiranya engkau musnahkan kumpulan ini maka tidak ada siapa lagi yang akan menyembah Mu di bumi ini”[5]
Ini menunjukkan Khidir a.s tidak bersama mereka. Sekiranya tentera Islam tadi menerima kehancuran, sedangkan kalau dianggap Khidir a.s masih wujud, sudah tentu Allah s.w.t masih disembah selepas mereka. Jadi dimanakah faedahnya doa Nabi s.a.w ini ?
Jawapan :
Hujah ini disangkal bahawa yang Nabi s.a.w maksudkan di dalam doanya tadi adalah ; Sekiranya umat Islam yang masih sedikit itu dimatikan atau terkorban, nescaya akan kehilangan para da’ie yang mengajak manusia menyembah Allah s.w.t, kerana mereka dipertanggungjawabkan dengan tugas tersebut. Sedangkan Khidir tidak diwajibkan melaksanakan tugas tersebut kerana beliau bukannya dapat dilihat oleh mata lahir.
Kemudian dalil di atas ini dan dalil yang ketiga tadi bercanggah dengan athar yang thabit daripada Umar Bin Abdul Aziz dan jelas menyatakan bahawa Khidir a.s dapat ditemui selepas kewafatan Nabi s.a.w.
Berasaskan dengan apa yang telah dibentangkan tadi tidak ada dalil yang putus yang menunjukkan hidup atau matinya Khidira a.s, jadi tidak dapat dibuat keputusan yang putus mengenai masalah ini.
Pandanganku
Sesuatu yang menenangkan hati ku iaitu sepertimana yang diceritakan oleh sebahagian orang-orang soleh dan benar yang mengakui bahawa mereka pernah bertemu Khidir a.s dan berdialog dengannya. Mereka juga dalam bilangan yang ramai samada yang terdahulu atau terkemudian. Jadi,saya mempunyai pandangan yang tesendiri yang membolehkan saya menyelaraskan di antara kata-kata mereka dengan apa yang dijadikan dalil untuk menyatakan kematiannya, dan saya tidak dapati seorangpun yang  berpendapat seperti ini daripada kalangan ulama islam setakat apa yang saya tahu. Iaitu: Khidhir a.s telah pun mati, tetapi Allah s.w.t memberi keistimewaan kepadanya dengan satu kelebihan iaitu: Rohnya boleh menjelma dalam bentuk jasad yang dapat dilihat oleh sebahagian orang-orang soleh iaitu sebagai ‘karamah’ dan perkara yang mencarik adat. Pendapat saya ini dikuatkan dengan hujah berikut:
a. Khidhir a.s dilihat dalam pelbagai bentuk jasad. Adakalanya dengan bentuk seorang badawi, suatu ketikanya dengan bentuk seorang pemuda dan pada ketika yang lain dalam bentuk seorang tua.
b. Khidhir a.s juga tidak makan dan minum, sebagaimana yang diceritakan oleh mereka yang pernah menemui dan melihatnya.
c. Jisim, halangan dan benteng tidak dapat menegahnya dari dimasuki dan keluar daripadanya. Ini adalah cirri-ciri roh bukan jasad.

Saya secara peribadi,pernah diceritakan oleh seorang yang pernah bertemu dengan Khidhir a.s dan melihatnya, dan beliau menyebut perkara seperti di atas, dan tidak ada sesuatupun alasan untuk meragui kata-katanya  itu.
Wallahu a’alam.[6]


[1] Al Bid’ah fil Mafhum al Islami ad Daqiq (Himpunan Fatwa Dr Abd Malik as Sa’adi), edisi terjemahan hlm 64
[2] Al I’shabah jilid 1 hlm 479-482
[3] Riwayat Bukhari (116)
[4] Surah al Anbia’ 34
[5] Riwayat Muslim (4687)
[6] Tambahan penyusun : Menurut Imam al Barzanji di dalam kitabnya al Isya’ah bahawa pendapat yang terkuat mengatakan lelaki yang akan mendustakan Dajjal nanti adalah Khidir. Dan diriwayatkan juga daripada Ibn Abbas r.a berkata “Saidina Khidir adalah seorang yang diberi tempoh hidup yang panjang sehingga beliau akan mendustakan Dajjal di akhir zaman nanti –Riwayat Daruquthni di dalam al Afrad.

No comments:

Post a Comment