Wednesday, 1 May 2013

Hukum tidur selepas asar




TIDUR SELEPAS ASAR[1]
Fatwa Syeikh Hasanain Makhluf

Soalan
Sebahagian manusia meriwayatkan hadith :

من نام بعد العصر وجُنَّ فلا يلومنَّ إلا نفسه
                                                              
“Sesiapa yang tidur selepas Asar dia akan menjadi gila, maka janganlah ia mencela melainkan dirinya sendiri”

Adakah ini adalah hadith Nabi s.a.w ?

Jawapan : Hadith ini di dalam al Jami’ as Shoghir dengan lafaz:

من نام بعد العصر فاختُلِسَ فلا يلومنَّ إلا نفسه

“Sesiapa yang tidur selepas Asar akan hilanglah akalnya, maka janganlah ia mencela melainkan dirinya sendiri”

Kata al Munawi :

“Sesungguhnya hadith ini berlegar ke atas Amru Bin Hasin daripada Ibn U’lasah dan dia adalah matruk (ditinggalkan) sebagaimana kata az Zahabi dan al Haitsami sanadnya adalah lemah”

Demikian juga diriwayatkan oleh Ibn Hibban daripada Ahmad Bin Yahya Bin Zuhair daripada Isa Bin Abi Harb as Shoqqal daripada Khalid Bin al Qasim daripada al Laits Bin Saad daripada U’qail daripada U’rwah daripada Aisyah, berkata Ibn Jauzi: “Sesungguhnya Khalid adalah pendusta, dan hadith daripada Ibn Lahia’h diambil oleh Khalid dan sampai kepada al Laits, maka hadith ini adalah maudhu’, iaitu dusta ke atas Nabi s.a.w (Nabi s.a.w tidak pernah berkata demikian). Maka diharamkan menisbahkannya ke atas Nabi s.a.w.

Saya mengatakan : Yang zahirnya tidaklah tsabit apa keadaan sekalipun tidur selepas Asar itu boleh menyebabkan hilang akal atau pun gila, wallhua’alam.[2]


Terj: Faiz Tanzizi 2011
[1]  Fatawa Syeikh Husnain Muhammad Makhluf, Maktabah Syamilah, Isdar Makki, keluaran ketiga, soalan 13
[2] Tambahan penyusun : Tidur selepas Asar itu tidaklah haram, walaubagaimanapun sunat kita tidak tidur kerana Nabi s.a.w tidak pernah tidur pada waktu itu. Sebahagian ulama’ mengatakan hukumnya makruh. Dalam kitab Misykatul Mashobih ada disebutkan: Tidur sedikit di waktu tengahari tidaklah dikeji. Rasulullah s.a.w pernah melakukannya. Ini dapat mengimbangi kekuatan tubuh badan setelah bertahajjud di malam hari.
Ibn Qayyim berkata:
"Banyak tidur di siang hari amat dikeji kerana ia akan mewarisi penyakit kebengkakkan (muka kelihatan sembab dan tidak bercahaya) malapetaka, merosakkan warna kulit, menimbulkan penyakit radang limpa, melemahkan urat saraf dan melemahkan syahwat. Sekeji-keji tidur ialah ketika awal hari (selepas Subuh sehinnga terbit matahari) dan terlebih keji lagi ialah tidur di akhir siang hari (selepas Asar)."

No comments:

Post a Comment