APAKAH DARJAT
KECINTAAN KEPADA NABI S.A.W[1]
Fatwa Syeikh Ali Juma'ah
Soalan
Apakah kedudukan yang sepatutnya
kecintaan kepada Nabi Muhammad s.a.w, dan apakah batas-batasnya, dan adakah
kecintaan kita kepada Nabi s.a.w itu bertentangan dengan cinta kepada Allah
s.w.t?
Jawapan : Cinta kepada
Nabi s.a.w itu adalah lambang kecintaan kepada Allah s.w.t. Maka sesiapa yang
mencintai Allah s.w.t maka dia telah mencintai RasulNya dan Nabi s.a.w itu
adalah kekasih Rabbula’alamin. Bagindalah yang datang kepada kita dengan
membawa segala kebaikan, sanggup mengharungi segala kesusahan demi menyampaikan
Islam kepada kita dan memasukkan kita ke dalam syurga. Sesungguhnya kita
mestilah mencintai Nabi kita s.a.w
sehingga sempurna iman kita. Sabda Nabi s.a.w :
فَوَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى أَكُونَ
أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ وَالِدِهِ وَوَلَدِهِ.
“Demi diriku berada di dalam kekuasaanNya, tidak beriman salah seorang
di kalangan kamu sehinggalah dia mencintaiku lebih daripada ibu bapa dan
anaknya”[2]
Di dalam hadith yang
lain :
عن زهرة بن معبد عن جده قال : كنا مع النبي صلى الله
عليه و سلم وهو آخذ بيد عمر بن الخطاب رضي الله عنه فقال والله لأنت يا رسول الله
أحب الي من كل شيء الا نفسي فقال النبي صلى الله عليه و سلم لا يؤمن أحدكم حتى
أكون عنده أحب إليه من نفسه فقال عمر فلأنت الآن والله أحب الي من نفسي فقال رسول
الله صلى الله عليه و سلم الآن يا عمر
Daripada Zahrah Bin Ma’bad
daripada datuknya dia berkata “Pernah suatu ketika kami bersama Nabi s.a.w,
baginda memegang tangan Saidina Umar r.a, lalu dia berkata kepada Nabi s.a.w “
Demi Allah engkau ya Rasulullah lebih aku cintai daripada setiap sesuatu melainkan
diriku” Maka sabda Nabi s.a.w “Tidak sempurna iman seseorang sehinggalah dia
mencintaiku lebih daripada dirinya sendiri” Kata Umar “Demi Allah engkau lebih
aku cintai lebih daripada diriku” Sabda Nabi s.a.w “ Sekarang barulah sempurna
wahai Umar”[3]
Kata Ibn Rejab al Hanbali :
محبة النبي
صلى الله عليه وسلم من أصول الإيمان وهي مقارنة لمحبة الله عز وجل ، وقد قرنها
الله بها ، وتوعد من قدم عليها شيء من الأمور المحبوبة طبعا من الأقارب والأموال
والأوطان وغير ذلك
“Cinta kepada Nabi s.a.w itu adalah di antara daripada Usul Iman. Ia
adalah perbandingan pada cinta kepada Allah s.w.t. Sesungguhnya Allah s.w.t
membandingkannya dengan kecintaan kepada Nabi s.a.w dan menjanjikan pada mereka
yang mendahulukan ke atasnya sesuatu
daripada perkara-perkara yang dicintai seperti kaum kerabat, harta, tanah air
dan sebagainya.”[4]
Maka tidak sempurna iman seseorang itu
sehinggalah dia amat mencintai Nabi s.a.w kerana itulah yang dikehendaki oleh
Nabi s.a.w pada Saidina Umar r.a. Dan demikian itu adalah darjat yang sepatutnya
bagi setiap Muslim untuk mencapainya.
Kecintaan ini tidaklah bertentangan dengan
kecintaan pada Allah s.w.t. Kecintaan engkau kepada Rasulullah s.a.w itu adalah
salah satu daripada aspek kecintaan kepada Allah s.w.t. Maka asas kecintaan
engkau kepada Rasulullah s.a.w adalah kecintaan kepada Allah s.w.t. Di sana
tidak ada makhluk yang Allah s.w.t mentajallikan sifat-sifat Jamal dan KamalNya
seperti Saidina Rasulullah s.a.w, maka engkau telah mencintai segala Tajalli
Ketuhanan yang ada pada Nabi s.a.w kerana baginda adalah cermin yang
memantulkannya kepada kita. Cinta bagi Allah s.w.t pada keesaanNya dan cinta
kepada Nabi s.a.w dengan sepenuh hati engkau. Ia juga adalah cinta kepada Allah
s.w.t dan tidak ada pertentangan di antara kedua-duanya.
Apa yang disebut secara ringkas di atas wajiblah
kita semua mencintai Nabi s.a.w. Mudah-mudahan Allah s.w.t mengurniakan
cintanya, mengikutinya, dan bersamanya di akhirat kelak, wallhua’alam.
No comments:
Post a Comment