Thursday, 2 May 2013

Maksiat syaitan dan manusia




MAKSIAT SYAITAN DAN MANUSIA[1]
Fatwa Syeikh Mutawalli as Sya'rawi

Soalan
Firman Allah s.w.t : Iblis berkata: "Demi kekuasaanMu (Wahai Tuhanku), aku akan menyesatkan mereka semuanya”[2]
FirmanNya lagi “dan dengan itu derhakalah Adam kepada Tuhannya, lalu tersalah jalan (dari mencapai hajatnya). Kemudian Tuhannya memilihnya (dengan diberi taufiq untuk bertaubat), lalu Allah menerima taubatnya serta diberi petunjuk.”[3]
FirmanNya lagi “Kemudian Nabi Adam menerima dari Tuhannya beberapa kalimah (kata-kata pengakuan taubat yang diamalkannya), lalu Allah menerima taubatnya; Sesungguhnya Allah, Dialah Yang Maha Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha Mengasihani.”2 Soalannya mengapakah Allah s.w.t menerima taubat Adam a.s dan mengusir Iblis daripada rahmatNya sehingga Hari Kebangkitan ?

Jawapan : Maksiat yang dilakukan Iblis adalah berbeza dengan apa yang dilakukan oleh Adam a.s. Iblis menderhakai Allah s.w.t dengan enggan sujud kepada Adam a.s. Sedangkan Adam a.s menderhakai Allah s.w.t dengan memakan buah daripada pokok. Kedua-dua kesalahan ini adalah berbeza. Iblis ketika mana dia derhaka kepada Allah s.w.t dia merasa bongkak, sombong dan sentiasa berada di dalam maksiat dengan berkata :

قَالَ فَبِعِزَّتِكَ لَأُغْوِيَنَّهُمْ أَجْمَعِينَ

 Iblis berkata: "Demi kekuasaanmu (Wahai Tuhanku), aku akan menyesatkan mereka semuanya”[4]

Dia mencabar dan enggan mengakui kesalahannya dan melawan perintah demi perintah sedangkan perintah itu daripada Allah s.w.t. Adapun Adam a.s ketika mana ia tersilap, ia mengakui kesilapannya dan bertaubat kepada Allah s.w.t dan tidak terus melakukannya bahkan dia berdoa: “Ya Allah Ya Tuhanku! Sesungguhnya aku manusia yang lemah yang telah disesatkan oleh syaitan, dia telah mengelincirkanku, Ya Allah aku tahu engkau Tuhan yang Maha Benar, kata-kataMu adalah benar tetapi diriku amat lemah dan telah melakukan kesilapan, sesungguhnya aku bertaubat kepadaMu atas segala kesilapanku”. Maka ini adalah cara Adam a.s dengan mengakui kebesaran Allah s.w.t. Dia mengakui kesilapannya. Dia bertaubat kepada Allah s.w.t dan berjanji tidak akan melakukannya. Adapun Iblis sebaliknya, dia tidak mengakui dosanya bahkan sentiasa dalam maksiatnya dan merasakan dia sentiasa benar ketika melawan perintah Allah s.w.t dan percaya dia berada di pihak yang benar. Kerana itulah Allah s.w.t menjauhkannya dan mengusirnya dari rahmatnya. Maka dengan apakah dia menerima pengusiran ini ?. Dia melampaui batas dalam mencabar dengan berkata :
 قَالَ فَبِعِزَّتِكَ لَأُغْوِيَنَّهُمْ أَجْمَعِينَ
Iblis berkata: " Demi kekuasaanmu (Wahai Tuhanku), aku akan menyesatkan mereka semuanya” 1

Iblis mengetahui perintah Allah s.w.t mesti dilaksanakan sebab itu dia berkata “Demi kekuasaanMu Ya Allah” kerana Allah s.w.t Maha Kaya daripada seluruh alam. Kaya Allah s.w.t daripada setiap makhlukNya dan langsung tidak berhajat kepada mereka. Walau bagaimanapun Iblis tidak mampu menyesatkan manusia yang ikhlas kepada Allah s.w.t :

إِلَّا عِبَادَكَ مِنْهُمُ الْمُخْلَصِينَ
" kecuali hamba-hambaMu di antara zuriat-zuriat Adam itu yang dibersihkan dari sebarang kederhakaan dan penyelewengan ".[5]

Iaitu orang-orang yang dikehendaki oleh Allah s.w.t yang dipilih olehNya dan tidak mampu menyesatkannya, wallahua’lam.[6]

Terj: Faiz Tanzizi 2011


[1] Fatawa Syeikh Sya’rawi, hlm
[2] Surah Shood 82
[3] Surah Toha 121,122
[4] Surah Shood 82
[5] Surah Shood 83
[6] Tambahan penyusun : Para Nabi itu ma’sum terpelihara daripada melakukan dosa kecil atau besar. Adapun kesilapan yang dilakukan Nabi Adam a.s adalah sebelum baginda di lantik sebagai Nabi. Kesilapan-kesilapan yang dilakukan oleh para Nabi itu ditakwilkan oleh para ulama’ dengan pelbagai sebab antaranya sebelum dilantik menjadi Nabi, meninggalkan yang lebih utama atau terlupa.

No comments:

Post a Comment